Sering sorok sanitari kerana malu, Doktor ini terangkan mitos tentang haid

Dr Azizah Rusly menjelaskan penggunaan tampon tidak akan membuatkan seorang wanita hilang dara. Selama ini setiap kali datang bulan, ramai kaum wanita telah dimomokkan dengan maklumat tidak tepat dan mengelirukan tentang haid. Menurut laporan World Bank Group, sekurang-kurangnya 500 juta wanita di seluruh dunia terpaksa berdepan dengan ‘kemiskinan haid’ dan ada di antaranya tidak mempunyai akses yang sewajarnya kepada kemudahan untuk pengurusan kebersihan apabila datang bulan.

Dengan kekurangan akses kepada produk sanitari, kesedaran dan pemahaman juga terhad tentang kaedah terbaik untuk menguruskan perkara itu. Sempena bulan Kesesaran Menstruasi Aurelius Healthcare, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Aurelius Nilai, Dr Azizah Rusly berkongsi tentang beberapa mitos mengenai haid yang mungkin ada segelintir wanita mempercayainya.

Ibu cakap kena basuh pad kerana darah adalah kotor dan akan dijilat jin

Darah haid adalah sama dengan darah lain daripada badan manusia dan ia tidak kotor. Ia mengandungi darah, membran rahim, lapisan mukus dan bakteria. Walaupun adakalanya ia kelihatan bergumpal atau warnya lebih gelap tetapi ia adalah perkara biasa. Sebetulnya, bungkus pad yang sudah dipakai sebelum dibuang. Bagaimanapun, jika menggunakan pad jenis guna semula atau cawan haid, rendamkannya di dalam air sejuk dan basuh menggunakan sabun pencuci, soda penaik atau cuka. Pastikan ia benar-benar kering sebelum digunakan semula bagi mengelakkan jangkitan.

Saya diberitahu menekap pad yang sudah dibasuh boleh menyelesaikan masalah jerawat

Ia tidak bersih kerana sisa atau produk haid perlu dibuang dengan betul. Bagi mendapatkan kulit yang bersih, ia bergantung kepada jenis kulit seseorang. Diet yang seimbang boleh membantu menyelesaikan masalah itu selain lebih banyak makan buah-buahan dan sayuran. Selain itu, minum air yang mencukupi serta bersenam tiga kali seminggu dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan kulit wajah.

Tampon akan pecahkan selaput dara saya

Penggunaan tampon boleh menyebabkan sedikit regangan atau koyakan pada selaput dara tetapi ini juga boleh berlaku ketika seseorang melakukan aktiviti lasak. Sesetengah wanita mungkin akan mengalami rasa tidak selesa apabila memasukkan tampon buat kali pertama tetapi mereka akan terbiasa.

Elak makanan dan minuman sejuk kerana boleh sebabkan lebih banyak darah haid keluar dan senggugut

Tiada sebarang kajian yang membuktikan pengambilan makanan dan minuman sejuk akan menyebabkan darah haid lebih banyak dan senggugut. Datang bulan adalah berkaitan dengan sistem peranakan di mana minuman dan makanan berhubung dengan sistem penghadaman. Kedua-dua sistem ini mempunyai fungsi berbeza dan tidak akan memberi kesan kepada antara satu sama lain. Bagaimanapun, sesetengah wanita mungkin sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk yang boleh meningkatkan masalah senggugut. Pada akhirnya, seorang wanita patut tahu tentang tubuh mereka.

Saya selalu sorok produk sanitari kerana tidak manis dipandang orang

Produk sanitari adalah barangan gaya hidup harian seperti tisu dan ubat gigi, jadi tidak ada sebarang keperluan untuk berasa malu tentangnya. Setiap wanita mempunyai kebebasan untuk membeli produk kebersihan tanpa rasa malu tentangnya. Sumber, mstar