Bertuah lah badan kalau jumpa kucing calico jantan, Ketahui sebabnya

Tahukah anda kucing Calico sangat berdikari dan gagah tetapi bersifat manja. Kucing calico adalah sejenis spesies yang memiliki gabungan warna pada bulunya seperti oren, putih, hitam dan kuning membuatkan penampilannya tampak berbeza daripada si bulus lain. Hampir kesemua kucing yang dilahirkan dengan gabungan warna ini adalah betina dan jarang kucing jantan dilahirkan dengan bulu sebegitu. Sekiranya ada, ia biasanya mandul dan atas sebab itu kucing dengan kombinasi bulu pelbagai warna ini jarang ditemui kerana tidak dapat dibiakkan. Gabungan pelbagai warna ini membuatkan kucing Calico menyerlah daripada si bulus yang lain namun pesaing terdekatnya adalah kucing Tortoiseshell.

Kombinasi pelbagai warna pada kucing Calico menjadikan ia unik.

Bagaimanapun Tortoiseshell biasanya akan mempunyai warna asas iaitu hitam pada keseluruhan badannya manakala Calico putih dengan tompokan warna lain pada badannya. Selain warna bulunya yang menyerlah, kucing Calico sangat terkenal dengan keperibadiannya yang berani, gagah dan sangat berdikari. Namun di sebalik kelebihan itu, ia juga sangat manja, penyayang dan paling penting setia pada tuannya. Jika anda perlukan cinta tanpa syarat, kucing Calico adalah jawapannya!

Biasanya kucing calico adalah betina.

Meskipun memiliki warna bulu yang unik, kucing Calico bukanlah datang daripada baka tertentu sebaliknya ia hanya warna bulu dan boleh berlaku kepada beberapa jenis baka kucing. Atas sebab itu, kepelbagaian warna bulu ini boleh berlaku kepada kucing daripada baka Persia, Manx, Maine Coon, Scottish Fold dan Japanese Bobtails. Pun begitu, warna ini tidak ditemui berlaku pada baka seperti Siam Himalaya, Bombay, Russian Blue dan British Shorthair. Sumber, mstar