Penyanyi Ana Raffali menzahirkan rasa syukur selepas akhirnya dia berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Pengajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Berita gembira itu dimaklumkan Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali menerusi Instagram. Menerusi posting sama, penyanyi yang popular menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku itu turut berkongsi swafotonya sewaktu menghadiri majlis konvokesyen yang berlangsung pada Sabtu.
Katanya “Alhamdulillah, syukur saya dianugerahkan Sarjana Pendidikan dalam bidang Teknologi Pengajaran dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA). “Terima kasih kepada semua yang memberikan kepercayaan dan bantuan sepanjang pengajian saya,” tulisnya pada ruangan kapsyen. Ana turut merakamkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang telah menyokong dan membantunya sepanjang pengajian.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata peminat tumpang gembira selain mendoakan agar Ana akan terus sukses pada masa akan datang. Sekadar informasi, nama Ana pernah menjadi perhatian selepas dinobatkan pemenang utama di Anugerah Juara Lagu ke-25 menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku. Selain itu, Ana juga turut popular menerusi lagu Kalau Berpacaran, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur dan Hari Hari Hari Raya. Sumber, Media Hiburan