Siapa tak kenal dengan model dan pelakon popular ini. Peluang beraksi dalam filem ketenteraan, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa memberikan kepuasan tidak terhingga buat pelakon Scha Alyahya. Kata aktres berusia 39 tahun itu, dia sememangnya sangat berdebar apabila ditawarkan membintangi filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See tersebut. Ibarat kata pepatah, bagai pucuk dicita, ulam mendatang, tawaran membawakan watak sebagai Kapten Nur Liyana dalam filem bergenre aksi ketenteraan tersebut disambut baik Scha, lebih-lebih lagi apabila dia berpeluang mengendalikan pesawat Airbus A400M sebenar.
Biarpun sering membawakan watak petugas unit beruniform sebelum ini, penglibatannya dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dirasakan cukup berlainan dan luar biasa. “Saya memang selalu ditawarkan dengan watak badan beruniform, namun secara realitinya, saya jauh berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam skrin. “Apabila diberikan watak sebagai Kapten Nur Liyana dan perlu mengendalikan pesawat Airbus A400M, saya rasa cukup teruja dan hebat. Babak banyak atau tidak, penting atau tidak dalam filem tersebut, itu bukanlah perkara utama,” katanya kepada Pose.
Ujar pemilik nama lengkap Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu lagi, antara sebab dia berbesar hati menerima tawaran membintangi filem tersebut kerana mahu memperkasakan wanita menerusi watak yang dibawakan. Kata isteri kepada pelakon dan juga pengacara, Awal Ashaari itu, dia mahu memberi inspirasi kepada masyarakat, terutamanya kaum Hawa menerusi watak yang digalasnya supaya tidak takut untuk menceburi bidang yang didominasi golongan lelaki.
Katanya “Mesej saya adalah melalui watak sebagai Kapten Nur Liyana. Saya mahu memberi inspirasi kepada orang awam terutamanya wanita supaya tidak gentar untuk masuk dalam bidang yang dipelopori oleh orang lelaki. “Penonton jarang disajikan dengan filem bergenre sebegini (aksi ketenteraan). Jadi saya rasa mesej yang hendak saya sampaikan menerusi filem tersebut banyak, padu dan padat. Filem ini bukan semata-mata berkisarkan peperangan, namun terdapat juga banyak mesej yang hendak disampaikan,” katanya.
Pada masa sama, bekas pemenang pencarian Dewi Remaja 2005/2006 itu turut menganggap penglibatannya dalam filem yang mengangkat perjuangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tersebut sebagai suatu pengalaman bermakna dan tidak boleh dilupakan sampai bila-bila. “Saya berasa bangga apabila dipilih memegang watak Kapten Nur Liyana. Pengalaman ini suatu yang bermakna untuk saya ingat sampai bila-bila.
Selanjutnya kata Scha “Saya sendiri sukakan bidang yang membabitkan unit beruniform. Untuk menjayakan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, saya perlu menjalani latihan insentif bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). “Ketika latihan, ada yang pengsan dan tidak mahu buat. Jadi di situlah cabarannya. Cuma disebabkan saya sudah biasa dengan kapal terbang, saya berasa senang dan selesa,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu. Sumber, kosmo