Faizal Hussein kini mula bergiat aktif di aplikasi Tiktok, Faizal Hussein akui masih menjaga privasi dirinya

Pelakon senior Faizal Hussein tidak menyangkal bahawa media sosial merupakan platform yang penting bagi seorang penggiat seni untuk kekal relevan ketika ini. Menurut Faizal, seiring dengan perubahan yang berlaku dalam industri seni, semua pihak hendaklah memainkan tanggungjawab masing-masing membantu menjayakan sesebuah naskhah. Malah, dirinya sendiri telah membuka satu akaun TikTok bagi mempromosikan drama terbaharu lakonannya, One Cent Thief.

Katanya “Sebagai seorang pelakon pada zaman sekarang, saya dan rakan artis telah diminta untuk buat promosi di media sosial untuk sesuatu projek yang bakal keluar, sama juga macam drama saya One Cent Thief ini. “Dalam kontrak filem ini sudah dinyatakan untuk buat promosi filem pada Facebook, Instagram dan TikTok. Jadi untuk kekal relevan dalam industri, saya yang umur dah 55 tahun perlu ada akaun TikTok juga,” katanya.

Faizal ditemui ketika majlis malam gala tayangan drama Astro Original Series, One Cent Theif bertempat di Dadi Cinema Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bagi Faizal sendiri, dia tidak menyangka apabila beberapa video yang dikongsi di TikTok menerima jutaan tontonan daripada wargamaya. “TikTok saya dikawal dan dibantu oleh anak perempuan saya, jadi apa acara yang saya hadir macam GegarVaganza dan sebagainya dia akan rakam dan jadikan konten. “Kadang-kadang saya tak sangka video saya dapat berjuta tontonan, ada juga yang bergurau nak jadi menantu saya. Walaupun saya buat TikTok atas dasar kerja, tetapi saya rela dan suka,” kongsinya lagi.

Pun begitu, Faizal tetap mengingatkan dirinya dan rakan selebriti lain agar tidak terlalu taksub kepada media sosial sehingga mendatangkan kesan buruk dan mencalarkan imej sendiri. “Sebagai seorang artis jangan terlalu taksub dengan sosial media, media sosial is not everything, privasi tetap kena ada. “Kalau untuk saya sebagai seorang pelakon, saya perlu tahu apa yang saya muat naik dan tidak mendatangkan aib kepada sesiapa,” tambahnya. One Cent Thief dibintangi oleh Syafiq Kyle, Faizal Hussein, Azira Shafinaz, Sofia Jane, Amerul Affendi, Fabion Loo, Aghonderan Sahadevan, Pablo Amirul dan ramai lagi. Sumber, gempak

Sinopsis

One Cent Thief mengisahkan tentang Iman Shah seorang pekerja bank yang terdesak untuk membiayai kos rawatan serta melangsaikan hutang abahnya kepada ceti haram. Dengan menggunakan kepintarannya, dia telah menggodam sistem Bintang Bank untuk mencuri satu sen dari setiap akaun pelanggan bank dan berjaya mendapatkan jumlah wang yang besar. Saksikan One Cent Thief bermula 7 Oktober ini yang akan ditayangkan serentak di empat saluran berbeza bahasa iaitu Astro Ria (104), Astro Vinvmeen HD (202), Astro Shuang Xing De (307) dan PRIMEtime (704).