Aliff Syukri bakal terima cahaya mata keenam, sekali ini keadaan terkini isteri

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri bakal menimang cahaya mata keenam apabila isterinya yang juga usahawan, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid kini hamil dengan usia kandungan mencecah empat bulan. Nur Shahida berkata, dia mengalami alahan teruk pada awal kehamilan dan mudah rasa penat hingga jarang berkongsi perkembangan semasa di media sosial.

“Ya, saya sedang hamil anak keenam, usia kandungan baru masuk tiga ke empat bulan. Saya tidak terlalu gembar-gemburkan mengenai kehamilan ini. Ini kali keenam dan bukannya saya baru hamil anak sulung. Jadi saya menjalani kehidupan macam biasa saja. Pada awal kehamilan, saya alami alahan teruk juga, cepat rasa penat, malas dan sebagainya. Sebab itulah kalau ada yang perasan saya sekarang jarang mengemaskini perkembangan terkini di media sosial. Apa yang dimuat naik pun gambar atau video lama,” katanya. Dalam masa sama, Nur Shahida terkejut apabila tular video spekulasi dalam kalangan warganet mengenai dirinya yang dikatakan sedang hamil.

“Cuma itulah bila perkara ini menjadi tular, saya pun rasa pelik. Kita bukan baru hamil, anak pun dah lima orang. Apa pun saya mengucapkan terima kasih atas doa baik-baik yang dititipkan semua. Doakan agar urusan seterusnya dipermudahkan. Memang kami merancang nak enam orang anak. Soal jantina saya serahkan kepada Allah SWT. Kami tak kisah dapat anak lelaki atau perempuan, cuma yang penting mendoakan agar bayi dalam kandungan ini sihat,” katanya. Pasangan itu berkahwin pada Ogos 2007 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi dan Raudah Arshiyah selain turut menjaga seorang anak angkat. Sumber, hmetro