Minta doakan, Rizky Febian bawa teman wanita ke KL dan ini jawapannya bila ditanya soal perkahwinan

Ketibaan penyanyi popular Indonesia, Rizky Febian bersama teman wanitanya Mahalini di Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert pertamanya malam ini mendapat perhatian ramai. Kehadiran pasangan itu seolah-olah memberi bayangan hubungan kedua-duanya, serius. Menurut Rizky, meskipun hubungan mereka sudah diketahui umum, mereka berdua saling menyokong antara satu sama lain.

“Kebetulan dia lapang, dia temani saya. Begitu saya juga, kalau saya lapang, saya akan temani dia. Kalau dia lapang, dia temani saya. Begitu dengan lagu saya, saya baharu bikin lagu beberapa bulan lalu iaitu Satu Tuju dan dia juga menghasilkan lagu Bisa Sempurna yang didedikasi buat saya. Jadi saya balas dengan dedikasi lagu Satu Tuju untuk dia. Kami sememangnya saling menyokong,” katanya.

Rizky ditemui di sidang media Rizky Febian Live in Kuala Lumpur di sebuah hotel di ibu kota, sebentar tadi. Ketika ditanya mengenai pasangan tersebut sudah mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman bujang bersama Mahalini dalam masa terdekat, pelantun lagu Hingga Tua Bersama itu memohon doa yang baik-baik buat mereka berdua.

“Doakan saja semoga ada sampai ke tahap itu. Di Indonesia saya tak pernah bicara soal ini. Jadi doakan semoga ada jalannya. Jujurnya kami saling menyokong antara satu sama lain, kerana kami sama-sama pemuzik, jadi kami mahu sama-sama kejar gol masing-masing. Dia pun tahun depan akan ke Kuala Lumpur. Jadi biar soal itu menjadi sebuah rahsia saya dan dia. Tapi kami mempunyai perancangan, jadi doakan,” katanya.

Sempat membicara tentang sikap Mahalini yang disenangi, Rizky meluahkan mereka memiliki banyak persamaan yang membuatkan dia berasa selesa. “Kami gila orangnya dan bukan seseorang yang menjaga imej. Kami menerima kami seadanya. Kami juga sering ketawa dan bergurau bersama serta melakukan hal-hal bd.0h bersama. Disebabkan kami mempunyai banyak persamaan, kami berada di satu frekuensi,” katanya.

Dalam pada itu, Rizky cukup teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia dalam persembahan yang akan diadakan di Zepp malam nanti. “Saya senang sekali kerana di sini saya ada peminat yang ramai. Mereka sentiasa menyokong saya, walaupun konsert saya di Jakarta, mereka tetap sokong dengan mempromosikan, jadi saya senang sekali. Malah pelancaran konsert ini juga menerima sambutan luar biasa. Semua itu membuatkan saya sangat senang ke sini,” katanya. Terdahulu, tiket konsertnya habis dijual dalam masa satu jam. Pembelian tiketnya dibuka pada 25 Ogos lalu. Sumber, Gempak