Tidak ada tawaran kerja atau apa apa, tak nak biarkan isteri hidup susah dan ini tindakan yang Tajul lakukan

Penyanyi Tajul, 24, pernah ambil risiko gunakan wang simpanan terakhirnya sebagai modal membuka perniagaan bersama isterinya Nurul Shamieza Eddie, 26, sebagai jalan terakhir jana pendapatan tidak lama dulu. Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari berkata, ketika itu dia memang nekad cuba nasib kerana enggan membiarkan isterinya jatuh susah hidup bersamanya.

“Saya pernah jatuh paling susah saya rasa dalam hidup hampir setahun lebih selepas berkahwin. Nama saya senyap dalam tempoh itu. Saya tak ada tawaran kerja, tiada reviu, memang apa pun tiada. Ketika itu, kami memang sedih sebab baharu berkahwin dan bakal ada anak. Diuji pula dengan ujian begitu kemudian P.3rintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang saya ‘terduduklah’. Isteri nekad mulakan perniagaan dan saya pun bagi satu-satunya simpanan terakhir saya. Kalau tidak buat, simpanan itu pasti dibazirkan. Saya nekad jadikan ia modal dan alhamdulillah perniagaan itu menjadi sampai sekarang bertahan,” katanya.

Berdepan ujian itu ketika di awal fasa perkahwinannya, penyanyi lagu Tragedi Cinta Itu tidak sampai hati emosi isterinya turut terganggu. “Saya pun faham dia mesti sedih, tambah pula emosi wanita mengandung, pasti dia terfikir bagaimana nak teruskan hidup bersama saya,” katanya yang ditemui pada sidang media pratonton siri lakonannya Sorry Naik Lori terbitan iQIYI, semalam.

Dalam siri arahan Aidilfitri Mohamed Yunus itu, Tajul turut bergandingan dengan Nazim Othman, Ruhainies, Sheila Mambo, Nafiz Muaz, dan Asha Zainul. Siri sebanyak 15 episod terbabit akan ditayangkan bermula 4 November ini secara eksklusif di aplikasi iQIYI dan iQIY1 International bersama episod baharu yang akan disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu. Sumber, Hmetro Online