Sepatutnya berlangsung pada 19 November, kini konsert Slank terpaksa ditundakan gara gara bertembung dengan PRU15

Konsert 4 Dekad Slank yang dijadualkan berlangsung pada 19 November ini ditunda ke 25 Disember depan susulan pertembungan dengan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Penganjurnya, TBRW Global berkata, keputusan menganjakkan konsert band rock popular Indonesia itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor terutama berkenaan pertindihan tarikh dengan PRU15.

“Selepas berbincang dengan pihak atasan, disebabkan tarikh konsert yang bertindih dengan PRU15, TBRW Global memutuskan untuk menunda Konsert 4 Dekad Slank ke tarikh baharu iaitu 25 Disember. Keputusan ini diambil untuk mengelakkan sebarang kemungkinan selain memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengunjung konsert,” katanya.

Pada masa sama, pihak penganjur turut meminta maaf atas segala kesulitan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan konsert tersebut. Konsert bersempena ulang tahun ke-40 band tersebut dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur dengan mengundang Ratu Rock Ella sebagai artis jemputan. Slank terkenal dengan lagu I Miss U but I hate U dijangka beraksi dalam persembahan selama dua jam dengan dendangan untaian hit mereka sepanjang empat dekad dalam industri muzik.

Ditubuhkan pada 26 Disember 1983 di Jakarta dengan gelaran Gang Potlot, Slank muncul dengan album Suit-suit.. Hehehe (Gadis Sexy) pada 1990.

Kali terakhir mereka melancarkan album pada 1 Januari tahun lalu berjudul Vaksin Slank. Sehingga kini, band tersebut menghasilkan 24 buah album selain pernah muncul dengan beberapa album runut bunyi seperti Get Married, Get Married 2 dan Generasi Biru The Movie. Mereka pernah merangkul pelbagai anugerah seperti empat kali memenangi Album Rock Terbaik, Anugerah Musik Indonesia dan Anugerah Most Favorite Band, Anugerah MTV Indonesia. Sumber, K!Online