Ustaz kazim Elias tampil mohon maaf pada pengundi di Larut, Ustaz Kazim Elias dedah tidak mahu ada perbalahan dalam keluarga

Memang tak asing lagi kita dengan individu ini. Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mengemukakan permohonan maaf kepada semua pengundi Parlimen Larut berhubung keputusannya tidak mewakili parti Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di Parlimen Larut. Mohd Kazim menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat atas alasan memegang prinsip dan amanah arwah ibunya untuk tidak bertanding sesama keluarga di dalam satu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terangnya lagi “Pengundi di Larut saya meminta maaf, walaupun demikian saya berjanji akan turun juga ke Larut walaupun sebagai seorang pendakwah. “Saya akan terus membantu apa yang boleh (berceramah agama) untuk sahabat dan saudara mara saya di Larut di Kubu Gajah, Batu Kurau dan Selama,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Darul Barakah, Manjoi di sini hari ini.

Berhubung isu tarik diri sebagai calon di saat akhir itu, Mohd Kazim menjelaskan bahawa surat untuk menarik diri daripada menjadi calon tidak sempat diterima sebelum pengumuman calon BN dibuat oleh Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi Hamidi pada 1 November lalu. “Terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan keseluruhan barisannya kerana memilih saya untuk mewakili BN di Parlimen Larut pada peringkat awal dan saya menerima untuk bertanding di atas tiket BN tetapi tidak sampai beberapa jam selepas itu menarik semula penerimaan itu atas beberapa sebab.

Jelasnya lagi, “Sebelum menerima tawaran daripada kepimpinan UMNO negeri dan pusat, saya mempunyai prinsip untuk tidak mahu bertanding dengan ahli keluarga di dalam satu Parlimen, DUN dan sebagainya, prinsip itu diamanahkan oleh arwah ibu saya kepada kami. “Saya tidak akan bertanding sesama keluarga kerana boleh menimbulkan persepsi yang tidak berapa cantik (baik) di kalangan masyarakat khususnya di Parlimen Larut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusannya untuk menandatangani watikah dan akur janji juga dibuat tanpa mengetahui abangnya Datuk Mohd Najmuddin Elias juga bertanding di bawah Parlimen sama di DUN Batu Kurau dengan parti berbeza. “Beberapa rundingan dilakukan bersama dengan saudara kandung sehinggalah saya mengambil keputusan selepas berbincang untuk menandatangani watikah sebagai calon akujanji sebagai calon Parlimen Larut.

Terangnya lagi, “Pada masa yang sama abang saya juga menandatangani wakil bagi satu lagi parti yang berbeza tanpa kami saling mengetahui yang dia juga tandatangan (pada hari yang sama). Kita tidak bercerita (berbincang) selepas itu, saya ingatkan dia tidak bertanding, dia pula ingat saya tidak bertanding. “Jadi apabila berbincang samada saya atau abang yang tarik diri, saya menghormati sebagai satu keluarga untuk memberi laluan kepada abang saya untuk bertanding di dalam DUN Batu Kurau.

Katanya lagi “Saya sudah memaklumkan menarik diri dan berharap tiada sebarang pengumuman yang diadakan, tetapi malangnya surat itu tidak sampai ke tangan Presiden dan Setiausaha BN lalu pengumuman dibuat esoknya,” katanya sambil memaklumkan keputusan menandatangani watikah dan akur janji sebelum ini juga bukan atas dasar mahu terjun ke bidang berpolitik namun mengetengahkan konsep dakwah dalam menyuarakan keperluan rakyat di Parlimen.

Katanya, Ahmad Zahid menerima keputusannya dan terus kemudian mengumumkan calon yang baru. “Alhamdulillah beliau menerimanya. Jadi, tidak timbul isu misalnya saya di tolak bahagian dan cawangan Larut padahal sudah dipersetujui oleh semua khususnya di BN negeri dan tidak timbul isu flip flop sekejap setuju atau sekejap tidak setuju,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri daripada bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan perkara berkenaan pada Pengumuman Calon Barisan Nasional 2 November lalu. Sumber, harian metro