7 tahun penantian pasangan ini akhirnya ada juga rezeki hamil, tapi komen Fazura pula jadi perhatian

ANUGERAH yang paling berharga buat pasangan suami isteri sudah semestinya zuriat kurniaan daripada Ilahi. Ada pasangan yang tidak perlu menunggu lama untuk dianugerahkan cahaya mata, namun ada juga yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum dikurniakan ‘malaikat kecil’ sebagai penyeri keluarga. Bagi pasangan Siti Nur Robiatun Adayiah Shaikh Abdullah dan suami, Ainnudin Mohd Ghazali, tempoh tujuh tahun bukanlah jangka masa yang singkat namun penantian tersebut akhirnya berbalas dengan berita gembira.

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Nur Robiatun Adayiah atau lebih mesra disapa Rubi berkata, dia disahkan mempunyai Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) pada kedua-dua belah ovarinya, justeru menyukarkan peluang untuk hamil. Namun begitu, Rubi berkata dia dan suami tidak berputus asa. Mereka mencuba pelbagai ikhtiar untuk mendapatkan zuriat termasuklah menjalani rawatan ‘intrauterine insemination’ atau IUI. “Sebelum ini sepanjang hampir tujuh tahun berkahwin, saya memang tak pernah pregnant. Kit ujian pun tak pernah positif. “Justeru bermula 2018, kami buat check-up kesuburan. Daripada situ saya dirujuk untuk menjalani IUI. Saya merupakan penghidap PCOS, dan doktor kata prosedur ini untuk kes saya adalah 30 peratus berjaya.

“Rawatan IUI untuk kali pertama adalah pada 2019, namun tak berjaya. Saya cuba sekali lagi pada 2020 iaitu sebelum pandemik Covid-19, namun hampa juga. “Doktor tak suggest untuk teruskan sebab ada masalah telur tak matang. Memang down ketika dengar kata-kata itu. Justeru doktor cadangkan buat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) tapi seperti yang kita tahu, kosnya besar. “Oleh itu saya dan suami tangguh dahulu kaedah rawatan di hospital dan cuba ikhtiar dengan rawatan alternatif dan tradisional,” ujar wanita berusia 33 tahun ini. Ikhtiar Rubi dan suaminya bagaimanapun masih belum membuahkan hasil sehingga wanita ini berkata, dia pasrah dengan ketentuan jika ditakdirkan tidak mempunyai rezeki zuriat. Klik sini untuk lihat video.

“Ketika dua dan tiga tahun pertama kahwin, memang kita asyik fikir nak anak. Tapi masuk tahun kelima dan keenam, saya dah berserah sebab macam-macam cara dah buat. “Bukan bermakna saya berputus asa tapi dalam hati ini seperti reda dengan apa jua yang ditetapkan. Tapi suami saya supportive, dia sering pujuk dengan kata-kata nasihat jangan give-up. “Hinggalah sekitar Mac atau April 2022, saya decide untuk turunkan berat badan. Saya kawal makan, tak ambil gula dan bersenam. “Dalam tempoh enam bulan, berat badan saya turun daripada 75 kilogram kepada 69 kilogram dalam tempoh enam bulan.

“Akhirnya pada tanggal 26 Oktober 2022, berita gembira yang ditunggu-tunggu berkunjung tiba. Saya saja periksa sebab period terlewat. Saya tak letak harapan pun sebab memang sebelum-sebelum ini keputusan negatif. “Tiba-tiba nampak dua line. Masa tu menggeletar…. saya pula seorang di rumah sebab suami hiking ke Annapurna Base Camp (ABC), Nepal ketika itu. Saya ke pejabat dan cerita dekat kawan dan dia cadangkan saya cuba lagi sekali dengan alat penguji digital.”Keputusannya positif! Saya speechless. Akhirnya positif pertama kali selepas hampir tujuh tahun. Hanya air mata yang mampu menggambarkan perasaan ketika itu,” ujar wanita yang menetap di Kuantan, Pahang ini.

Rubi berkata, dia tidak sabar untuk berkongsi berita gembira itu dengan suaminya namun mengambil keputusan untuk melakukan kejutan apabila lelaki itu pulang ke tanah air. “Sepanjang dia di sana, hari-hari kami video call… saya bagi hint ‘cepat balik, ada orang tunggu’ tapi dia tak dapat tangkap. Suami tiba di tanah air pada 3 November. “Malam itu selepas selesai solat Maghrib, saya hulurkan kotak. Dia pelik saya beri hadiah sebab bukan ulang tahun hari lahir atau anniversary. Saya cuma cakap ia hadiah sempena dia dapat tawan ABC.

“Sebaik saja lihat isi dalam kotak itu, terus suami menangis sambil meluru peluk saya. Mak saya yang ada ketika itu pun menangis… kiranya semua ‘banjir’ ketika itu,” imbasnya saat membuat kejutan kepada suami. Rubi berkata kini usia kandungannya sudah mencecah 22 minggu. Tidak mengalami alahan yang teruk, Rubi malah bersyukur kerana majikan dan rakan sekerjanya benar-benar memahami dan sedaya upaya memudahkan tugasannya. “Mereka pun tumpang gembira. Disebabkan saya bekerja dalam sektor pembinaan, majikan tidak bebankan saya dengan tugasan seperti ke tapak pembinaan dan sebagainya,” katanya lagi.

Tidak menyangka video kejutan untuk suami yang dimuat naik di TikTok meraih lebih 684,000 jumlah tontonan, Rubi berkata dia sekadar mahu mengabadikan momen indah itu di laman sosial. Selain itu dia juga mahu memberikan inspirasi kepada pasangan yang sedang berikhtiar mendapatkan cahaya mata (trying to concieve). “Saya pernah duduk di tempat pasangan TTC. Jadi saya tergerak untuk kongsi journey saya sebagai pemangkin semangat kepada pasangan TTC lain. “Kepada pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat, jangan putus asa dan teruskan berusaha. Dalam masa sama, lakukan ujian kesuburan untuk kedua-duanya. Pupuk sikap saling memahami dan beri kerjasama, itu yang penting.

“Pedulikan apa yang orang sekeliling nak cakap. Ingatlah, Allah tak pernah tidur. Dia beri rezeki tepat pada masanya. “Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi komen positif dan mendoakan saya dan juga bayi kami. Tak sangka pelakon Fazura pun komen juga. “Saya doakan agar kebaikan berbalik kepada mereka semula dan moga wanita yang sedang menanti zuriat, mereka akan dapat merasai anugerah ini,” akhirnya. Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.