Ujian sebelum nak raya, individu ni luah rasa sedih bila 7 ribu biji ketupat pasal berkulat

KEDATANGAN Syawal pastinya dinanti-nantikan sesetengah peniaga kerana dapat menjana pendapatan berganda untuk menjual segala persiapan termasuklah juadah raya. Namun, sayu hati seorang anak melihat bisnes ketupat yang diusahakan ibu bapanya terjejas apabila makanan yang wajib dihidangkan ketika Aidilfitri itu rosak kesemuanya. Bukan sebiji dua, tapi kira-kira 7,000 biji ketupat palas sejuk beku rosak sehingga menampakkan tompokan hitam (berkulat).

Mengakui sedih dengan kejadian yang berlaku, Juliana Zakaria berkata, ibu bapanya menjalankan perniagaan ketupat setiap kali musim raya sejak lebih 20 tahun. Wanita berusia 28 tahun itu bagaimanapun tidak menyangka salah satu peti sejuk yang menyimpan stok ketupat mengalami kerosakan, pada Ahad malam lalu. “Mak hanya sedar apabila salah satu peti tak sejuk dan ada bau pelik masa nak ambil stok yang ditempah pelanggan. Bila buka bungkusan ketupat, ada yang dah berair dan berkulat. “Bukan 70 atau 700 biji, tapi 7,000 biji ketupat dalam peti sejuk yang rosak. Masa tu mak tak tahu nak cakap apa dan hanya kata tak ada rezeki, tapi nampak air muka mak sedih cuba tahan diri untuk tidak menangis,” katanya.

Juliana berkata, ibu bapanya masing-masing berusia 58 dan 66 tahun menyiapkan 12,000 biji ketupat palas sejuk beku berdasarkan tempahan pelanggan untuk Hari Raya kali ini. “Ada yang buat dari awal puasa lagi. Berdasarkan tempahan, 100 biji dijual pada harga RM65, jadi mak ayah kerugian RM4,550. “Rugi satu hal, tapi paling kasihan penat lelah mak dan ayah menghasilkan ketupat setiap hari. Macam mak, dari pagi dia buat sampai sebelum waktu berbuka puasa. Dapat siap purata 500 biji, sebelah malam mak sambung lagi,” ujarnya yang berasal dari Kuala Nerus, Terengganu. Menurut anak ketujuh daripada sembilan beradik itu, tempahan ketupat palas sepatutnya tidak diambil sebegitu banyak memandangkan ibunya tidak berapa sihat.

“Ayah pesan jangan ambil tempahan banyak sebab nanti penat nak buat. Sekarang ni dah banyak rosak, kami anak-anak kasihan dan beri sokongan kepada mak ayah. “Ayah tahu mengenai kejadian tu pun selepas pulang dari solat terawih. Dia senyap tapi nampak muka sedih, dan bila diajak moreh katanya tak ada selera,” ujarnya sambil menambah ibu bapanya yang merupakan suri rumah dan pesara kerajaan itu mempunyai 17 cucu. Juliana yang bekerja di kedai emas berkata, hasil perbincangan sekeluarga, tempahan terpaksa dihadkan disebabkan kerosakan peti sejuk.

“Ini bermakna tempahan sekarang kena had berapa jumlah setiap pelanggan. Maksudnya, ada pelanggan akan mendapat separuh dari tempahan asal terutama bagi jumlah yang banyak. Sekarang ni mak ayah akan sambung menyiapkan baki tempahan ketupat sebelum hari raya. Dugaan bulan Ramadan menjelang Syawal, dan mak ayah reda walaupun sedih. Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku buat kami. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kami sekeluarga agar dimurahkan rezeki akan datang. “Setiap ujian yang Allah bagi ada hikmahnya, semoga mak ayah kuat dan tabah dengan dugaan ini,” katanya.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.