Ramai yang tertanya tanya tarikh sambutan aidilfitri tahun ni, akhirnya pihak Jakim tampil menjawab kekeliruan ni

TULAR di media sosial tangkap layar daripada skrin di Masjid Wilayah Persekutuan, yang memaparkan tarikh akhir Ramadan adalah pada 20 April. Ramai dalam kalangan kita mula berteka-teki susulan hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang kononnya jatuh pada 21 April iaitu pada hari Jumaat. Terbaharu, tular pula satu tangkap layar kalendar Islam menyatakan penetapan tarikh bagi Hari Raya bagi negara ini. Tarikh tersebut berbeza dengan yang tercatat dalam kalendar, yang mana 1 Syawal jatuh pada 22 April (Sabtu).

Susulan kalendar tular itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi hantaran di Facebooknya tampil menjelaskan kekeliruan yang berlaku. “Jakim menafikan kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu mengenai penetapan tarikh hari raya Aidilfitri bagi tahun 1444H/ 2023M yang mendakwa dikeluarkan oleh jabatan ini. “Semua pihak dinasihatkan supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” menurut Jakim dalam kenyataannya, Selasa.

Jakim pada 31 Mac turut mengeluarkan kenyataan berhubung kekeliruan ini, menyatakan pihaknya mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan ‘Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023’ yang disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid. Paparan tersebut juga telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini. “Jakim ingin memaklumkan, bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

“Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023. Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh Jakim atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak,” katanya lagi.

“Semua pihak adalah dimohon untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” katanya. Dalam pada itu, warga maya masih menyatakan kebimbangan mereka dan mula timbul keraguan terhadap ketetapan tarikh pada kalendar. Malah, mereka juga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya tarikh Hari Raya jatuh sehari lebih awal seperti yang berlaku pada tahun 2022.

“Saya nak tanya la ada kemungkinan tidak bahawa jika cerapan dibuat pada 20 April dan ada satu tempat cerapan nampak anak bulan maka esoknya akan raya? “Jangan nafi sahaja. Berikan nasihat untuk umat Islam bersiap. Jangan seperti tahun lalu, menafikan benda tular akhirnya ia benar. “Bagi nasihat kemungkinan akan berlaku macam tahun lepas. Bolehlah rakyat marhaen siap sedia awal. Jangan nafi saja,” antara komen warganet pada hantaran tersebut.

sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.