Setelah sekian lama menyepi, Datuk Eizlan Yusof akui dah tak terima tawaran berlakon sejak jadi calon PRU15

Pelakon senior, Datuk Seri Eizlan Yusof memaklumkan tidak menerima tawaran berlakon terutama drama sejak enam bulan lalu. Menurut laporan Berita Harian, pelakon berusia 52 tahun itu berkata, beliau menyedari situasi tersebut selepas menjadi calon bertanding bagi parti Gabungan Tanah Air (GTA) di bawah Pejuang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu. “Sejak November lalu, tawaran berlakon drama memang ‘sunyi’ berbanding sebelum ini. Tawaran berlakon filem ada tetapi untuk stesen televisyen (TV), tiada langsung.

“Tidak tahulah sama ada industri sekarang memang ‘sendu’ atau ada cerita lain di sebaliknya. Saya tidak tahu,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini. Eizlan berkata, beliau juga tidak berani mengiyakan sekiranya terdapat pihak yang bertindak memboikotnya susulan membabitkan diri dalam parti politik pembangkang. “Saya pun tidak dimaklumkan alasan mengapa. Saya tak berani hendak sahkan perkara itu (boikot). Cuma ini adalah tempoh paling lama saya berehat daripada penggambaran. Ketika zaman gawat dahulu, saya masih terima tawaran berlakon.

“Perkara ini masih lagi menjadi misteri buat saya. Tepuk dada tanyalah selera,” ujarnya berkias. Terdahulu, Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salan bagi kawasan Sabak Bernam dengan hanya memperoleh 460 undian daripada penduduk. Bagaimanapun, beliau dilaporkan menerima kekalahan dengan hati terbuka dan gembira sepanjang menjayakan kempen PRU15 kerana dapat turun padang bertemu pelbagai lapisan masyarakat.

Sumber: OMM. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.