Menghitung hari nak tamatkan zaman bujang, Syafiq Kyle akui banyak tanya pada orang terdekat cara uruskan keluarga

Bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, pelakon kacak, Syafiq Kyle berkongsi mengenai persiapan menuju hari bahagianya bersama aktres, Mimi Lana. Ketika ditemui, Syafiq berkata antara persiapan yang dilakukan adalah memastikan dirinya cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Menurut Syafiq, dia banyak mendapatkan pandangan daripada orang di sekeliling mengenai hal tersebut.

“Sama seperti apa yang saya kongsikan sebelum ini, ini perkahwinan pertama dan ini merupakan persiapan pertama yang pernah saya buat. Saya banyak bertanya kepada orang-orang terdekat bagaimana mereka menguruskan keluarga, menjaga isteri, anak-anak dan sebagainya. Secara spesifik mungkin saya ada pengalaman menguruskan kehidupan peribadi, jadi saya gunakan juga pengalaman yang ada, suai dan padankan. Yang penting jangan malu bertanya, apa dugaan orang lain saya boleh ambil pelajaran daripada situ.

Syafiq berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Polis Evo 3 yang diadakan di TGV, KLCC, pada malam Khamis. Dalam pada itu, disoal adakah sudah dilanda dengan apa-apa ujian dalam tempoh pertunangan, aktor berusia 30 tahun itu enggan mengiyakan mahupun menidakkan perkara tersebut. Jelasnya lagi, meski ada ujian yang menimpa dirinya, hanya dia seorang diri yang mengetahui. “Alhamdulillah, baik semuanya. Tapi kalau ada ujian bertunang sekali pun tak akan saya nak kongsikan kepada umum.

Sekiranya ada atau tidak ujian itu hanya saya sendiri yang mengetahui. Perkahwinan ini merupakan yang pertama untuk saya. Banyak hal yang saya belajar dan kawal menguruskan perkara begini (perkahwinan). Saya perlukan sokongan juga orang sekeliling. Sementara itu, Syafiq mendedahkan antara cabaran yang dihadapi membintangi Polis Evo 3 adalah dia perlu melawan rasa gementar apabila mengetahui akan digandingkan dengan pelakon senior seperti Shaheizy Sam dan Zizan Razak. “Cabaran yang boleh saya kongsikan adalah saya agak gementar untuk bekerjasama dengan Shaheizy Sam dan Zizan memandangkan mereka sudah ada daripada siri yang pertama.

Saya tidak meletakkan target untuk berada sama level dengan mereka, sebab saya percaya setiap pelakon ada kelebihan masing-masing menerusi watak yang dibawa, tetapi apa yang produksi sediakan selama dua minggu kelas, saya gunakan sebaiknya untuk borak dan menjadi rapat dengan mereka. Daripada situ, sedikit sebanyak membantu saya berani untuk masuk ke set penggambaran. Polis Evo 3 bakal menjengah 165 buah pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 25 Mei ini. Filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures ini mengangkat kredibiliti pasukan polis negara dan Polis Evo 3 masih mengekalkan elemen aksi komedi.

Selain Syafiq, filem arahan Syafiq Yusof itu turut dibintangi oleh Shaheizy Sam, Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish dan ramai lagi. Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.