Kesusahan sebelum ni mendorong untuk lebih kerja keras, anak Salahuddin Ayub dedah keluarga pernah hidup dalam kesusahan

Berita pemergiaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Alllahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ke negeri abadi amat meruntun hati banyak pihak terutama di kalangan ahli keluarga. Terbaharu, anak kepada Allahyarham Salahuddin mendedahkan mereka sekeluarga pernah hidup dalam kesusahan di mana hanya makan berlaukkan keropok selain pernah berhutang membeli susu di kedai Cina untuk mereka adik-beradik yang masih kecil pada ketika itu.

Fatihah dalam hantaran di laman Facebook berkata, kesusahan yang dialami mereka sekeluarga sebelum ini menjadi pendorong untuk lebih kuat dan bekerja keras bagi memastikan rakyat tidak kelaparan. “Kami juga pernah merasai makan berlaukkan keropok tanpa protein seperti daging dan ayam. Pernah juga mak cerita pada kami, ayah terpaksa hutang susu dengan apek kedai masa kami masih kecil. Mungkin itulah antara mendorong ayah bekerja keras untuk memastikan rakyat tidak lapar,” katanya.

Fatihah yang juga seorang peguam berkata, mereka adik-beradik juga pernah dibekalkan wang 30 sen untuk membeli makanan ringan yang diingini sewaktu ketiadaan bapa di rumah. Katanya, mereka lima beradik diasuh dan ajar dengan didikan ibu bapa yang mengajar untuk mengenal erti nilai, bukannya pangkat dan harta. “Kami membesar dengan didikan mak dan ayah yang mengajar kami untuk mengenal nilai. Bukan untuk mengenal pangkat dan harta. Kami bukanlah asal keluarga senang. Kami juga pernah merasai erti kesusahan dan kesempitan.

Terpahat di memori apabila ayah bawa kami lima beradik naik motor pergi kedai untuk belanja kami jajan dan aiskrim. “Kalau ayah tiada di rumah, kami hanya dapat 30 sen untuk belanja jajan (makanan ringan) daripada emak,”katanya. Dalam hantaran yang sama, Fatihah turut berkongsi luahan bapanya yang mahu dijemput ‘pergi’ ketika sedang bekerja demi rakyat dan akhirnya dimakbulkan oleh Allah SWT apabila Salahuddin, 61, pergi menghadap illahi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam, Ahad lalu. Fatihah berkata, ayahnya juga pernah menyatakan ahli politik perlu sentiasa bekerja dan tidak boleh pencen bagi membolehkan mereka sentiasa cergas.

Tambah Fatihah, arwah bapanya juga seorang yang lembut dan sentiasa mendekati setiap anaknya seorang demi seorang bagi mengetahui mengenai perkembangan pembelajaran dan masalah dihadapi mereka adik-beradik. Malah, arwah bapanya juga tidak pernah menitipkan nasihat agar menyusahkan ibu mereka, Datin Seri Fatimah Taha, 60, disaat beliau sibuk dengan urusan politik dan pentadbiran negara. Dedahnya lagi, arwah bapanya dan ibu sentiasa mendidik mereka untuk membuat keputusan sendiri serta bertanggungjawab dengan pilihan yang dibuat seperti memilih haluan ketika menuntut di pengajian tinggi.

Mengulas pembabitan dalam politik, Fatihah berkata, beliau kini tidak berpeluang lagi membantu bapanya dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah medan pertama dan terakhir buatnya menjadi pengurus kempen bagi arwah bapanya itu. Pun begitu, Fatihah redha dan terima segala ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya dan amat berterima kasih kepada arwah bapanya atas semua memori, kasih sayang dan tunjuk ajar diberikan kepada mereka selama ini.

Sumber: Omm. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.