Ini pula yang warganet syak beruang matahari di zoo sebenarnya manusia

Tindak-tanduk mencurigakan seekor beruang matahari di sebuah zoo di China mengundang perhatian pengguna media sosial yang mendakwa haiwan itu sebenarnya manusia yang memakai kostum, lapor portal berita Mothership hari ini.

Beberapa video memaparkan aksi beruang di Zoo Hangzhou itu mula dikongsikan di laman Twitter pada 27 Julai lalu. Haiwan itu dilihat amat mesra dengan pengunjung selain aksinya yang berdiri tegak sambil menghadap ke arah orang ramai mendapat  perhatian netizen.

Mereka mengesyaki terdapat seseorang yang memakai kostum beruang disebabkan lipatan kulit di bahagian belakang badan haiwan tersebut kelihatan seperti kostum. Menurut laman berita Zhejiang News, video kontroversi itu mencetuskan perdebatan netizen dengan sesetengah mereka berpendapat lipatan kulit haiwan itu membuatkan ia kelihatan seperti kostum longgar yang dipakai oleh manusia.

Namun, pihak Zoo Hangzhou menafikan dakwaan itu kelmarin Menurutnya, beruang tersebut adalah haiwan sebenar yang ditempatkan di zoo itu pada 2020.

Seorang kakitangan zoo memberitahu saluran berita BRTV bahawa sebagai sebuah zoo milik pemerintah, tidak mungkin mereka menggunakan manusia untuk memakai kostum haiwan. Suhu musim panas boleh mencecah hampir 40 darjah Celsius. Jika seseorang memakai kostum, mereka akan pengsan dalam masa beberapa minit kerana suhu panas,” kata pekerja tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Zoo Hangzhou, Jiang Zhi berkata, haiwan itu adalah beruang matahari Malaya yang mempunyai bentuk fizikal lebih langsing berbanding dua spesies beruang lain di taman berkenaan. Apabila disoal mengenai aksi beruang itu yang berdiri tegak, Jiang Zhi berkata, beruang matahari boleh berdiri menggunakan dua kakinya, selain ia mempunyai sikap mesra dengan pengunjung. – AGENSI 

Kredit Kosmo Online. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.