Ambil masa tujuh tahun untuk kumpul duit, Adi Putra akui kini dah jadi tunangan orang

Sejak semalam, tular sebuah ciapan mengenai seorang pengguna Twitter mengakui terkejut apabila melihat tunangnya yang juga ‘Genius Matematik’ Adi Putra menjadi bualan ramai, sedangkan ia adalah video lama dimuat naik semula. Pengakuan wanita terbabit sememangnya mengejutkan ramai kerana ramai tidak percaya, seorang kanak-kanak prodigi Malaysia mula dikenali pada usia 6 tahun kini sudah berpunya dan terasa masa begitu pantas berlalu. Terbaharu, pemilik nama Adi Putra bin Abdul Ghani,24, mengakui dirinya sudah pun bertunang dengan seorang gadis pilihan hati dikenali Siti Sarah Zurkarnin, 27, pada tanggal 19 Julai lalu.

Adi yang kini menceburi bidang IT sudah lapan tahun mengenali Siti Sarah dan berjumpa secara maya sewaktu menjadi tenaga pengajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). “Sebenarnya kami dah lama kenal, sejak lapan tahun lalu. Jumpa online melalui Instagram. Masa tu saya mengajar di UPSI. “Dia ada kawan di sana. Jadi, kami kenal melalui connection di Instagram. Bermula di direct message (DM) menjadi friendship, kemudian relationship pula. Pada masa tu dia masih belajar. Kami ambil masa tujuh tahun untuk kumpul duit sehinggalah majlis pertunangan diadakan di kediamannya (Siti Sarah) di Kota Bharu, Kelantan pada 19 Julai lalu,”ujar Adi.

Mengulas lanjut, Adi yang kini menetap di Cyberjaya memaklumkan segalanya masih dalam perbincangan, namun mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini. Bagaimanapun, majlis resepsi pula akan diadakan pada tahun hadapan. “Tentang kahwin, semuanya masih dalam perbincangan untuk kami cari tarikh serta lokasi yang sesuai. Kalau tiada apa-apa, insy-Allah kami rancang kami dulu tahun ni, persandingan besar pula pada tahun depan.  Sekarang saya menetap di Cyberjaya bersama adik-beradik yang lain. Bulan depan, insya-Allah akan pindah ke Ampang. Ini juga persiapan untuk berkahwin, kena cari rumah sendiri,”katanya.

Sementara itu, anak kelahiran Bagan Serai, Perak ini memaklumkan dirinya masih menetap dan bekerja di Malaysia, cuma jarang aktif di media sosial. Pun begitu, Adi berkemungkinan bakal kembali aktif mengajar Matematik di platform TikTok atau YouTube selepas berkahwin. “Mereka fikir saya dah pindah cari kerja di luar negara. Sebenarnya tidak, saya sentiasa ada di Malaysia. Bekerja di sini juga. Itulah jawapannya. Sebagaimana orang tengok Instagram, saya memang jarang berkongsi apa-apa. Saya tidak begitu aktif di media sosial. Tapi, tunang saya ada bagi idea supaya saya buat TikTok atau YouTube untuk ajar Matematik. Untuk buat seorang diri, saya rasa belum lagi. Insya-Allah lepas kahwin, dia boleh tolong saya,”ujar Adi.

Dalam perkembangan lain, Adi memaklumkan dirinya tidak terikat dengan mana-mana agensi atau pihak, sebaliknya selesa bergerak solo dan menjadi tutor persendirian. “Saya buat home  tutor. Saya pun tak ada ramai sangat pelajar. Saya fokus kehidupan harian sahaja. Jika ada permintaan, saya juga terfikir untuk menghidupkan semula program-program atau bengkel Matematik yang pernah dijalankan sebelum pandemik,”kongsi Adi. Dikesempatan itu, Adi merakamkan terima kasih kepada semua orang yang mengucapkan tahniah kepadanya selepas mengetahui mengenai berita pertunangannya, selain sentiasa menyokongnya sejak kecil lagi meskipun sudah jarang keluar (program/ aktiviti di media).

Adi juga berharap orang ramai mendoakan agar majlis perkahwinannya nanti dipermudahkan dan dapat menjalani kehidupan bersama keluarga kecil yang bakal dibina tidak lama lagi. Sekadar info, Adi Putra pernah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu University of Oxford dan Harvard University. Sumber: Omm. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.