Agong dan Raja Permaisuri berkenan memulakan jelajah Kembara Kenali Borneo

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan memulakan jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ di Sarawak dari 7 sehingga 13 September ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata konvoi baginda di negeri itu yang melibatkan perjalanan sejauh 1,198 kilometer (km), dijadualkan bermula dari arah utara sehingga penghujung selatan Sarawak iaitu dari pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas sehingga Telok Melano.

“Secara rasmi, rombongan Seri Paduka Baginda akan tiba di Sarawak pada 7 September dari Sabah, melalui jalan darat di pintu masuk ICQ Merapok dan rombongan akan terus ke Bandar Lawas menuju ke Tebingan Lawas, sebelum meneruskan perjalanan ke Negara Brunei Darussalam.

Baginda dan rombongan akan berada di Brunei selama tiga hari dari 7 hingga 9 September, seterusnya konvoi Baginda dijangka tiba Miri pada bagi meneruskan Kembara Kenali Borneo di Sarawak,” katanya dalam sidang media ‘Kembara Kenali Borneo’ di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata antara lokasi yang bakal dilawati rombongan Al-Sultan Abdullah di bahagian utara negeri termasuk Coco Cabana Miri, Kampung Penan Muslim Batu 10 dan Rumah Panjang Raymond Plen di Sebauh, manakala di wilayah tengah Sarawak melibatkan lokasi Tokong Yu Lung Tian En Si, Kampung Bandung Sibu dan Pasar Central Sibu.

Lokasi menelusuri Lebuhraya Pan Borneo kemudiannya diteruskan ke bahagian selatan Sarawak, iaitu Masjid Bahagian Sri Aman dan Zero KM Lebuh Raya Pan Borneo, Telok Melano. Saya bertanggungjawab sebagai menteri pengiring dan akan berada bersama-sama Seri Paduka dan Raja Permasuri Agong, sepanjang jelajah di Sarawak dari 7 September.

Selain itu, ada juga menteri dan timbalan menteri Sarawak yang ditugaskan mengikut lokasi berbeza, untuk menyambut ketibaan rombongan,” katanya yang menambah Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai program menarik di setiap lokasi yang dilawati.

Abdul Karim berkata antara aktiviti diadakan termasuklah pameran dan demonstrasi kraftangan, aktiviti kebudayaan, aktiviti memasak yang mengetengahkan keunikan juadah Sarawak. Paling penting, rombongan Al-Sultan Abdullah turut berpeluang beramah mesra dengan rakyat di Sarawak ini, sejajar dengan matlamat utama kembara yakni untuk mendampingi dan menyantuni rakyat Sarawak,” katanya.

Jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ dijadualkan bermula dari Tawau, Sabah pada 3 September dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak pada 13 September, dengan melibatkan perjalanan sejauh 2,154 km.

Mengenai kawalan lalu lintas sepanjang jelajah berkenaan, Abdul Karim berkata perkara itu telah diatur rapi oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pejabat Residen Bahagian Sarawak yang dilawati pasangan diraja itu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk sentiasa mematuhi arahan dari pihak berkuasa sepanjang perjalanan kembara baginda berdua. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.