Menang dalam Prn Dun Lembah Jaya, Altimet akui masih tak selesa dipanggil dengan gelaran YB

Komposer dan penyanyi rap, Altimet, 45, mengakui masih tidak selesa dipanggil Yang Berhormat atau YB selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin. Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Lembah Jaya menewaskan Sharifah Haslizah Syed Ariffin dari Perikatan Nasional (PN). “Saya masih tidak selesa lagi dipanggil YB. Apapun, terima kasih atas segala sokongan diberikan. Mohon doakan saya. Banyak ujian di hadapan akan saya lalui dan saya risau tersimpang,” katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada Harian Metro.

Ditanya perkara utama akan dilakukannya sebagai wakil rakyat di kawasan Lembah Jaya itu, Altimet berkata, dia akan berusaha melaksanakan beberapa manifesto yang diusulnya. “Sebagai pekerja masyarakat, saya akan sentiasa berusaha dengan segala kudrat yang ada dan akan bersama-sama dengan masyarakat dalam memastikan kebajikan akan terus diperjuangkan. “Terus menyanjung adat resam dan amalan budaya asal dikalangan masyarakat tempatan bagi memastikan amalan ini terus segar dari generasi ke generasi dan sebagai sejarah kita. “Saya akan menggembleng tenaga muda untuk sentiasa proaktif dan mampu berdaya saing dalam era teknologi maklumat dengan melihat peluang serta potensi yang ada dan membimbing mereka membetuk karier yang betul,” katanya.

Sementara itu, mengenai karier seninya dan pandangan sinis masyarakat apabila selebriti menggalas tanggungjawab wakil rakyat, Altimet selesa melihat ke arah positif. “Bagi karier seni saya, ia sudah ditamatkan pada 2019 lalu. Manakala, berhadapan pandangan sinis masyarakat pula, tiba masa saya buktikan sebaliknya dengan cara kerja yang akan dilaksanakan,” katanya. Altimet yang popular dengan lagu Amboi menjadi selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Datuk Dira Abu Zahar yang kini Adun Rim, Melaka.

Sumber: Hmetro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.