Kali terakhir jumpa minggu lepas, Ds Sharkar dedah ada ajak Datuk Johari jumpa tetapi tiada respons

PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53, menaiki pesawat persendirian ke Langkawi, Kedah, atas urusan kerja. Perkara itu disahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin kepada media di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Khamis malam.

“Datuk Johari menaiki pesawat itu atas urusan rasmi, beliau ada mesyuarat dengan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rossy Wan Ismail) di Langkawi. “Mula mengetahuinya amat terkejut sebab kita ada banyak Johari. Kita ada Johari Harun, Johari Hussien (Adun Tioman). Tidak tahu mana satu. “Namun, apabila dapat tahu kad pengenalannya bermula 1970 bermakna 53 tahun dan kita dapat jangka Johari Harun yang pergi menghadap illahi,” katanya. Beliau menyifatkan Johari seorang rajin meskipun baru kali pertama bertanding sebagai wakil rakyat.

Mengulas lanjut katanya, beliau sepatutnya mengadakan pertemuan rutin bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang pada Rabu namun tidak bertemu Johari pada hari berkenaan. Menurutnya, minggu lalu merupakan kali terakhir mereka bertemu dalam sebuah program. Allahyarham selalu bertanya pandangan dan nasihat mengenai politik daripada beliau. “Sepatutnya saya berjumpa dengan dia (Johari) semalam (Rabu). Saya ingin menjemput dia datang ke pejabat (rutin biasa). Selalunya setiap hari Rabu saya akan berada di pejabat kalau ada urusan yang perlu saya salurkan pada exco-exco tertentu ataupun bertemu janji dengan YAB.

“Pada hari (Rabu) tu dia tak respons. Saya maklumkan pada setiausaha MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan). Beliau (arwah) hanya ‘diam’. Selalunya kalau nak jumpa mesti beliau datang tapi kali ni dia tak respons. “Tiba-tiba kita terima berita ni. Sebenarnya, kita sangat-sangat sedihlah. Perbualan terakhir saya dengan arwah sewaktu kami di dalam satu program (tidak dinyatakan nama program) minggu lalu,” katanya. Dalam pada itu katanya,segala urusan berkaitan Allahyarham Johari termasuk penghantaran dan pengebumian akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.