Dah sedia untuk pertahankan diri, suami Miera Liyana nekad nak teruskan tuntutan nusyuz pada bekas isteri pertama

SUAMI kepada pelakon Miera Liyana memilih meneruskan tuntutan nusyuz terhadap bekas isteri pertamanya iaitu Rosland Othman meskipun mereka sudah sah berpisah talak satu pada 3 Ogos lalu. Susulan itu, bekas isterinya iaitu Adibah Abd Mutalib sudah bersedia untuk mempertahankan diri dan memberi keterangan bagi membuktikan dirinya tidak nusyuz seperti didakwa Rosland. Hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Selasa bagi perbicaraan itu, Adibah berkata, dia bingung dengan kehendak bekas suaminya namun yakin dia tidak bersalah.

“Saya pun tak tahu apa dia nak… Saya sedia untuk membela diri. Saya yakin saya tidak nusyuz,” katanya selepas perbicaraan selesai. Sementara itu, peguam syarie mewakili Adibah iaitu Mohd Junid Ramli memberitahu Adibah selaku defendan kes itu sudah berusaha menyelesaikan tuntutan berkenaan sebelum mereka berpisah. Bagaimanapun Rosland selaku plaintif tetap dengan pendirian mahu meneruskan perbicaraan selepas mendakwa Adibah tidak patuh ketika mereka masih bergelar suami isteri. “Ada perbincangan sejak awal lagi untuk selesaikan kes di luar mahkamah secara baik. Walaupun sudah berpisah tetap ada usaha untuk berbincang secara baik.

“Itu hak dia untuk teruskan kes di mahkamah. Mungkin ada alasan sendiri. Sebagai peguam, saya hanya jalankan tugas membela anak guam,” ujarnya. Dalam pada itu, Adibah sepatutnya memberikan keterangan balas berhubung kes itu namun Hakim Syarie Abdul Fatah Kamarudin menangguhkan perbicaraan selepas proses penandaan dokumen selesai. Antara dokumen yang dimasukkan adalah tuntutan poligami yang dibuat Rosland di Terengganu pada 2020.

Namun Adibah mendakwa dia tidak pernah menerima sebarang surat untuk hadir ke mahkamah bagi tuntutan tersebut. Rosland bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah. Perbicaraan tuntutan nusyuz itu akan disambung semula pada 21 dan 26 September 2023. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.