Akan lakukan lebih banyak lagi untuk meyakinkan rakyat, Zahid Hamidi akui sedar ramai yang suruh dia berundur

MENGAMBIL ‘tanggungjawab penuh’ terhadap prestasi buruk Umno dalam enam pilihan raya negeri baru-baru ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melafazkan ikrar untuk memperbaiki nasib parti. Pun begitu, Zahid yang juga presiden parti itu tidak menyatakan sama ada kenyataannya itu bermakna beliau akan melepaskan jawatan. “Saya sedar tentang gesaan sebegitu (untuk dia berundur). Apa yang saya boleh berikrar ialah saya, dengan bantuan kepimpinan parti, akan melakukan lebih banyak lagi untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“Kami akan meneliti pendekatan dan strategi dengan mengguna pakai yang baharu, supaya dapat memenangi hati serta minda pengundi sekali lagi,” katanya kepada The Star. Gesaan supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden parti sejak Umno menunjukkan prestasi buruk dalam enam pilihan raya negeri Sabtu lalu, apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi. Ia kehilangan semua kerusi yang ditandinginya di Terengganu dan Kedah dengan hanya menang dua di Pulau Pinang dan Selangor serta satu di Kelantan. Bagaimanapun, pemilihan lebih baik di Negeri Sembilan dengan 14 kerusi.

Ahmad Zahid berkata beliau sedar ada pihak dalam parti yang mahu beliau bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan. “Ini bukan kali pertama presiden Umno didesak untuk berundur. “Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga kepada Datuk Seri Najib (Razak), apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami,” katanya. Abdullah meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada 2009, setahun selepas pilihan raya umum ke-12, di mana Barisan Nasional menunjukkan prestasi buruk.

Pada 2018, Najib meletak jawatan sebagai presiden Umno selepas BN kalah dalam pilihan raya umum. “Walaupun saya bertanggungjawab ke atas keputusan pilihan raya, seperti yang (Datuk Seri) Johari (Abdul Ghani) tegaskan, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan Umno,” katanya. Johari, salah seorang daripada tiga naib presiden Umno, berkata semua pemimpin Umno mesti memikul tanggungjawab untuk prestasi buruk Barisan. Umno adalah satu-satunya parti Barisan yang mengambil bahagian dalam enam pilihan raya negeri.

Ahmad Zahid berkata antara isu yang perlu ditangani ialah kerjasama parti itu dengan DAP dalam kerajaan perpaduan. “Kami melakukan beberapa sesi untuk menjelaskan perkara ini di peringkat bahagian. Mungkin mesej itu tidak sampai ke akar umbi atau mungkin perlu dijelaskan lagi di peringkat itu,” katanya. Tambahnya, disebabkan itu terdapat ahli Umno yang masih keliru dengan kerjasama tersebut. Ini, katanya, mungkin menjejaskan parti dalam pilihan raya. Sumber; Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.