Sentiasa berdoa semoga dia istiqamah, Nabil Ahmad tak sangka anak perempuan umur 11 tahun nak pakai tudung

PELAWAK dan penyampai radio, Nabil Ahmad tidak menyangka anak sulungnya iaitu Naira Mikayla yang kini berusia 11 tahun menyatakan keinginan untuk tampil dengan imej bertudung. Kata Nabil, 39, dia sebenarnya bimbang untuk berkongsi perkara baik ini kerana takut sekiranya satu hari nanti anak perempuannya itu diuji untuk kembali tidak bertudung. Meskipun begitu, Nabil berkata dia tetap memberikan sokongan buat Mikayla atau Mika dengan mengikut kemahuannya membelikan setiap rekaan tudung yang diingini.

“Pada mulanya masa dia (Mika) minta pakai tudung, saya dan isteri terkejut sebab dia baru darjah lima. Saya tak pernah meminta dia memakai tudung… asalkan pakai apa yang dia selesa. “Tapi Alhamdulillah saya gembira. Saya sebenarnya tiada niat berkongsi mengenai hal ini kerana saya sangat takut nanti bila Allah uji dia sekiranya ingin membuka semula tudung.”Jadi saya biar sahaja… saya hanya memberi sokongan dan membelikan setiap warna tudung yang dia mahu,” katanya.

Nabil berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun ke-25 radio Era yang diadakan di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Jumaat. Dalam pada itu, Nabil memberitahu dia sentiasa berdoa serta berharap agar anak perempuannya itu kekal istiqamah dalam menutup aurat dan mendalami ajaran agama Islam. Kata Nabil, dia tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkahnya yang agak lambat mendalami dan mengikut tuntutan agama. “Kalau boleh doakan dia istiqamah… mereka nak belajar agama. Itulah harapan saya sekarang. Tiada apa yang boleh menggembirakan saya melainkan melihat anak-anak saya mengikut ajaran agama Islam.

“Saya tidak mahu anak-anak ikut seperti bapa (merujuk kepada dirinya) mereka. Saya dulu tak baik, bapa mereka nakal. Belajar agama pun lambat. Dapat hidayah pun lambat. “Jadi kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya melalui fasa buruk itu. Biar mereka melalui laluan yang betul. Apa yang boleh saya buat adalah berterusan mendoakan mereka untuk kekal istiqamah,” ujarnya. Ditanya sekiranya Mika mendapat tawaran untuk menjadi duta atau menggayakan jenama tudung di pasaran, Nabil terbuka memberikan peluang itu kepada anaknya.

Ia secara tidak langsung dapat menaikkan lagi semangat Mika untuk terus istiqamah memakai tudung dan menutup aurat. “Dia sudah mula belajar memakai tudung… pergi sekolah pakai tudung, bersukan pun pakai tudung. Malah keluar rumah pun masih bertudung. “Saya tidak menolak sekiranya ada jenama tudung yang ingin mengambil Mika sebagai duta atau model. “Saya rasa sekiranya menerima tawaran seperti ini, ia menggalakkan Mika untuk terus memakai tudung,” katanya.

Pada Julai lalu, Nabil memuat naik foto mereka sekeluarga di Instagram dan penampilan Mika mengenakan tudung jadi perhatian warganet. Untuk rekod, Nabil mendirikan rumah tangga dengan Nazirah Ayub pada 30 September 2011. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Naira Mikayla, 11, Layla Medyna, 8, dan Mishall Imani, 4. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.