Drama dah selesai ditayangkan hujung tahun lalu, Nasha Aziz dedah syarikat produksi masih belum buat bayaran

Kuala Lumpur: Pelakon, Nasha Aziz, 52, kecewa dengan syarikat produksi yang gagal membuat bayaran untuk lakonannya dalam drama bersiri 40 episod. Nasha ketika ditemui berkata, dia sepatutnya menerima bayaran penuh pada Februari lalu selepas drama itu selesai ditayangkan hujung tahun lalu. “Saya masih menunggu baki bayaran sebanyak 30 peratus yang belum dilunaskan. Sepatutnya, bayaran dilangsaikan pada Februari lalu selepas drama itu selesai tayangan. Ini kali pertama perkara begini berlaku kepada saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nasha, dia bukanlah satu-satunya individu yang tidak menerima bayaran penuh daripada syarikat produksi terbabit, tetapi beberapa individu lain turut terkena perkara sama. “Bukan saya saja, tapi ada juga beberapa individu lain termasuk pengarah dan pengarah fotografi turut sama tidak menerima bayaran penuh. Tapi, mereka bukan bekerja dalam drama sama, tetapi untuk projek berbeza-beza. “Kalau ada sebarang masalah, kami bersedia untuk berbincang dengan pihak syarikat produksi kerana sebagai orang Melayu, kita kan terkenal dengan tolak ansur? Saya sudah selesaikan tugas saya dan drama itu pun sudah habis ditayangkan,” katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan penerbit syarikat produksi itu, Nasha berkata, dia pada awalnya masih berhubung, namun perlahan-lahan mula menyepi. “Pada peringkat awal, dia masih lagi menjawab panggilan saya. Tapi, lama kelamaan, dia mula berdiam diri dan hanya menghantar bunga kepada saya. “Yang mengejutkan adalah ia berlaku antara saya dengan orang yang saya dah lama kenal dan ada reputasi serta latar belakang yang baik,” katanya.

Ditanya mengenai pengajaran yang dipelajarinya selepas kejadian itu, Nasha berkata, mungkin kesilapan adalah daripada pihaknya. “Salah saya kerana perjanjian yang dibuat adalah tanpa hitam dan putih. Mungkin disebabkan saya terlalu selesa dengan produksi itu, perkara ini berlaku. Jadi, selepas ini kalau boleh saya akan tetapkan sedikit had dan sempadan,” katanya. Sumber: Hmetro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.