Dikatakan memiliki wajah mirip Awie,penyanyi ini pilih konsep lagu rock untuk single pertamanya

MEMINATI penyanyi legenda rock, Datuk Awie, penyanyi baharu, Reyzal Yazmi, 25, memilih lagu berkonsepkan rock untuk single pertamanya berjudul Mata. Berasal dari Kuala Lumpur, Reyzal atau nama sebenarnya Muhammad Reyzal Mohd Yazmi kini mencuba nasib menempa nama dalam industri muzik.

Lebih mesra dengan panggilan Rey, anak muda ini turut dikenali sebagai ‘anak Awie’ di TikTok kerana wajahnya dikatakan mirip penyanyi Wings itu. Selain berbakat dalam bidang nyanyian, Rey turut berkebolehan dalam bidang dandanan rambut dan bekerja sepenuh masa di sebuah salun di Sentul, Kuala Lumpur.

Mempunyai perwatakan yang sentiasa menghiburkan, Rey tidak menyangka lagu ciptaannya bersama Herda Syira dapat direalisasikan dengan bantuan syarikat rakaman tempatan, RR Entertainment. Sebenarnya lagu Mata ini ditulis berkisarkan apa yang pernah berlaku dalam hidup saya dulu. Tak sangka pula dapat dijadikan single pertama saya.

Biar saya saja yang tahu kerana saya mahu menjadikan ia sebagai rahsia peribadi. Saya hanya menyampaikan apa yang tersurat di hati dalam bentuk nyanyian dan penulisan lagu.

Siapa sangka, impian dan harapan saya dapat direalisasikan. Jadi, benar seperti kata pepatah, tidak salah untuk bermimpi,” katanya.

Menurut Rey, dia bertuah kerana impiannya itu mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan rakan-rakan. Memiliki kelebihan vokal bernada tinggi, Rey lebih selesa membuat video lagu ‘cover’ di TikTok sehingga bilangan pengikutnya bertambah mendadak.

Selain itu, dia juga pernah menyertai program I Can See Your Voice di TV3, baru-baru ini. Kredit Harian Metro.