Tak mudah untuk lupakan, Kilafairy luah rasa sebak bila sarung pakaian lama arwah ibu

TIDAK mudah buat pelakon Kilafairy untuk terus melupakan pemergian ibunya iaitu Allahyarham Rohana Jalil yang pergi menghadap illahi pada 20 Jun lalu. Menurut Kilafairy atau Syakila Nisa Jaghir Khan, 31, hanya video lama nyanyian ibunya itu sebagai pengubat rindu serta mengimbau kembali kenangan ketika bersama. Malah katanya juga, selepas lima bulan arwah Rohana pergi dia hanya mampu berpura-pura gembira ketika bertemu orang ramai sedangkan hatinya merasakan kosong. “Saya beritahu diri sendiri memang tidak boleh melepaskan kesedihan selepas pemergian mama (Rohana), tiada hari yang saya tidak merasa sedih. Rasa rindu sehingga kini masih ada dan jiwa saya kosong.

“Kalau rindu saya akan tonton video lama nyanyian arwah. Baru-baru ini pun ada program TV yang menyiarkan nyanyian arwah, itu juga buat saya lepas rindu. “Keluarga lain pun pelik sebab saya boleh tonton, tapi itulah cara saya lepas rindu. Namun kalau keluar rumah saya hanya berpura-pura gembira sedangkan hati sangat remuk,” katanya. Kilafairy ditemui ketika majlis pelancaran koleksi A Decade of Wows & Veils dari pereka fesyen Shanell Harun di Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Hadir pada majlis tersebut, Kilafairy turut memakai baju rekaan Shanell yang pernah digayakan oleh ibunya ketika membuat persembahan tahun lalu. Menurutnya lagi ramai dalam kalangan rakan-rakan Rohana yang meminta untuk mendapatkan mana-mana baju penyanyi itu untuk dibuat kenangan. “Susah untuk saya pakai baju arwah. Masih ada bau dan kenangan bersama dia. Kawan-kawan mama pun ramai yang minta baju arwah, cuma saya belum berikan lagi. Jika saya beri dan mereka guna sebaik mungkin itu adalah yang terbaik.

“Di rumah masih banyak koleksi baju arwah. Rasanya penuh sebilik sebab dia masih simpan baju yang dipakai sejak awal menyanyi dahulu. Barang-barang mama pun tidak banyak yang saya usik lagi sebab terlalu sukar. Selepas mama pergi menghadap illahi banyak perkara berlaku. Ada yang pasangkan batu nisan pada kuburnya dan ada pula yang datang membersihkan. Dari situ saya tahu mama disayangi ramai,” ujarnya. Untuk rekod Rohana Jalil atau Dara Abdul Jalil meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM), Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) pada usia 68 tahun akibat kebocoran usus.

Tambah Kilafairy pemergian ibu juga sentiasa mengiaktkan dirinya supaya sentiasa memperbaiki diri agar lebih disayangi ramai. “Mama memang baik dengan semua orang, sekarang dia dah tiada. Saya tak tahu boleh ke jadi seperti dia,” luahnya. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.