SUSULAN kontroversi melanda rumah tangganya, personaliti media sosial Aisyah Hijanah mendedahkan perkara itu bukan sahaja mengganggu emosinya, malah turut memberi kesan kepada bayi dalam kandungannya. Aisyah yang kini hamil lima bulan baru sahaja melakukan pemeriksaan kesihatan memaklumkan saiz bayi dalam kandungan tidak normal dan agak kecil daripada usia kehamilan. Selain tertekan berdepan isu berkenaan, Aisyah berkata faktor tubuh badan kecil dan kurang selera makan juga menjadi punca anak dalam kandungannya tidak membesar.
“Bayi agak kecil daripada umurnya. Mungkin banyak faktor (iaitu) badan saya yang kecil, stres sepanjang isu dan kurang selera makan,” katanya menerusi satu hantaran di Instastory pada Rabu. Dalam perkongsian yang lain pula, Aisyah turut berterima kasih kepada semua yang mengambil berat dan memberikan kata-kata semangat terhadapnya. Malah, isteri pertama kepada Alif Teega itu turut memaklumkan dia berada dalam keadaan baik dan meminta warganet tidak lagi bertanya isu keluarga semasa sedang membuat siaran langsung bagi tujuan bekerja.
“Tujuan saya menulis kali ini adalah untuk menjernihkan dan memurnikan keadaan yang sedang berlaku. Pertama sekali, saya berterima kasih buat semua yang ambil berat dan memberi kata-kata motivasi. Semoga dengan motivasi kalian, Allah memberikan kemudahan dan kebahagiaan buat kalian semua. Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik. Atas komitmen saya kepada syarikat, saya tetap perlu membuat ‘live’ seperti biasa. Saya mohon warganet untuk memberi ruang dan tidak bertanya mengenai isu yang terjadi dikhuatiri situasi akan bertambah besar,” katanya.
Sementara itu, Alif Teega menerusi akaun Instagram miliknya pula memberi bayangan hubungannya dengan isteri pertamanya itu baik-baik sahaja. Meskipun keadaan menjadi keruh disebabkan orang ramai menghukum daripada pandangan kasar, Alif atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 29, berkata kebahagian di dalam keluarga kecilnya itu masih tetap utuh. Alif turut bernukilan bahawa erti bahagia sebenar adalah pada hati dan bukannya pada tatapan atau media sosial. “Manusia sentiasa bercakap, menghukum dari pandangan kasar mereka. mereka tak mampu untuk menyelami hati dan akibat perbuatan itu kadang-kadang menghasut keadaan menjadi keruh.
Tapi tidak pada kami, Allah jaga kebahagiaan kami. Bahagia kami tetap utuh. Kerana takdir tertulis seperti itu. Alhamdulillah, kami bahagia,” katanya. Pada Ahad lalu, Alif membuat pengakuan dia berpoligami dan penjelasan tindakannya itu dibuat bagi mengelakkan timbul sebarang fitnah di kemudian hari. Aisyah atau Aisyah Hijanah Azhari, 28, pula meminta orang ramai tidak bercakap buruk mengenai perkahwinan kedua suaminya itu dan meminta mendoakan kebahagiaan Aliff dan isteri baharunya yang tidak didedahkan identitinya.
Isu ini menjadi lebih hangat selepas ahli keluarga Aisyah Hijanah tampil membuat pendedahan mendakwa Alif pernah memukul isterinya dan mereka sekeluarga mengetahui serta menjadi saksi terhadap setiap perkara yang berlaku. Malah Amirul Adni Rustam iaitu sepupu dan juga adik susuan Aisyah mendakwa, Alif turut menjalinkan hubungan dengan wanita lain ketika Aisyah sedang hamil anak ketiga. Untuk rekod, Alif dan Aisyah mendirikan rumah tangga pada 25 November 2017 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.