Tak sangka Ds Anwar Ibrahim tahu tentang kisahnya, Mak Jah mengalir air mata terima sumbangan dari PM

PELAKON Mak Jah tidak menyangka kisahnya sedang berdepan kesukaran hidup akibat masalah kesihatan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terkejut menerima kunjungan wakil pemimpin negara itu, Mak Jah atau Maimunah Ahmad, 74, memberitahu dia tidak dapat menahan air mata tatkala rumahnya dihadiri tetamu pada pagi Rabu. Syukur atas kunjungan dan sumbangan yang diberikan, Mak Jah spontan melakukan sujud syukur selepas pihak berkenaan pulang daripada lawatan itu.

“Saya tak sangka PM tahu tentang kisah saya. Malah saya pun tidak kenal sesiapa di Pejabat Perdana Menteri jadi memang terkejut apabila mereka datang. Melihat rumah dipenuhi orang, saya mengalirkan air mata. Selepas mereka pulang, saya terus sujud syukur dan bermohon pada Tuhan agar jalan rezeki ini dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi. Sebelum itu, Anwar melalui satu perkongsian di laman Facebook memaklumkan tentang kunjungan tersebut yang diwakili oleh Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi.

Dalam kunjungan tersebut, wakil perdana menteri turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 selain sempat bertanya khabar tentang aktres veteran itu. Memanfaatkan sumbang tersebut secara baik, Mak Jah berpesan kepada cucunya agar wang berkenaan digunakan untuk tujuan perubatan sekiranya berlaku kecemasan di masa akan datang. Dalam masa sama, Mak Jah juga sempat menyuarakan hasrat agar diberi bantuan kediaman baharu memandangkan rumahnya kini yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur terlalu sempit kerana dihuni oleh tujuh orang.

“Selepas dapat duit tersebut, saya pesan kepada cucu untuk simpan di bank. Duit itu hanya akan digunakan untuk perubatan saya. Mereka datang berbual dan bertanya khabar. Sempat juga saya luahkan hasrat untuk dapatkan bantuan rumah sewa baharu. Dalam rumah sekarang ini ada tujuh orang semuanya. Jika ada rumah baru dapatlah saya berpindah. Apabila cucu-cucu sudah besar nanti boleh saya kembali ke rumah ini semula,” ujarnya.

Berkongsi keadaan terkini kesihatannya, Mak Jah berkata dia baru sahaja menerima rawatan di hospital minggu lalu disebabkan sakit pada bahagian lutut yang semakin parah. Sementara itu, berkongsi tentang kerjaya seni pula, pelakon veteran ini terpaksa menolak tawaran yang datang disebabkan kesukaran untuk bergerak. “Saya masih lagi ambil insulin untuk diabetes tetapi sakit lutut saya ini makin teruk. Baru sahaja ke klinik dan saya perlu jalani rawatan sebanyak tiga kali selepas berjumpa doktor.

“Tawaran berlakon masih ada cuma saya terpaksa tolak tapi baru-baru ini saya dipanggil berlakon dengan produksi Zeel Productions hanya untuk tiga babak. Saya terima sebab mereka kata tidak perlu bergerak. Saya hanya duduk di atas kerusi untuk babak air mata. Sementara ada rezeki saya terima sahaja,” jelasnya. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.