Ada ibu bapa yang rasa terbeban bila pihak sekolah minta bayaran tinggi untuk adakan majlis perpisahan untuk raikan murid tahun 6

Seperti kebiasaan, untuk meraikan murid-murid tahun 6 yang bakal meninggalkan sekolah, pihak sekolah akan mengadakan majlis perpisahan ataupun jamuan. Pun begitu, segelintir guru dan sekolah yang terlalu mengikut trend ketika mengadakan jamuan ini membuatkan ada segelintir daripada ibu bapa yang mengeluh berikutan harga yang dikenakan terlalu mahal. Menurut laporan, ada antara ibu bapa terpaksa meminta anak mereka untuk tidak sertai majlis tersebut kerana ada yang mengenakan bayaran sekitar RM50 sehingga RM150 untuk seorang pelajar.

Hal ini menyebabkan ada ibu bapa yang mempersoalkan pemilihan lokasi serta bayaran untuk menghadiri majlis tersebut kerana bukan semua ibu bapa mampu untuk mengeluarkan bayaran semahal itu walaupun anak mereka ‘berhak’ untuk diraikan. Menurut seorang ibu, dia tidak mempunyai masalah untuk membayar jumlah tersebut, cuma apabila memikirkan mereka yang tidak berkemampuan, bayaran tersebut agak keterlaluan untuk mereka. Selain itu, ada yang meminta pihak PIBG untuk campur tangan dalam hal ini dan ada juga yang menegaskan, segelintir guru dan pihak pentadbir sekolah terlalu ingin mengikut trend, sehingga ada yang mengadakan jamuan perpisahan darjah enam di hotel.

Dalam masa yang sama, ibu bapa mengeluh dan berpendapat, alangkah elok sekiranya jamuan tersebut diadakan di sekolah sahaja dan untuk menjimatkan kos, boleh minta ibu bapa bergotong royong untuk sediakan juadah. Menurut laporan tersebut, seorang ibu menyatakan sekolah anaknya mengenakan caj RM150 untuk seorang anak yang menghadiri majlis graduasi tahun enam dan sekiranya ibu bapa ingin turut serta, tambahan RM90 pula bakal dikenakan.

Tidak cukup dengan itu, menurut seorang lagi yang mempunyai anak kembar berkata, sekolah mereka mengenakan caj RM100 untuk seorang pelajar, bermakna untuk majlis graduasi tersebut, dia terpaksa membayar RM200! Walau bagaimanapun, ramai juga ibu bapa yang bersyukur kerana di sekolah mereka masih mengenakan bayaran yang munasabah iaitu sekitar RM20 hingga RM30 untuk majlis yang diadakan secara sederhana di sekolah.

Sumber: Lobak Merah. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.