Tak tolak tawaran jika dapat watak penyondol, Elisya Sandha impikan peluang nak bawa watak antagonis

MEMULAKAN kerjaya lakonan sejak sedekad lalu, pelakon Elisya Sandha mengimpikan peluang untuk membawakan watak antagonis sama ada dalam drama mahu pun filem. Elisya atau Nur Elisya Sandha Hassan, 25, berkata, dia belum berpeluang melakonkan peranan itu mungkin disebabkan karakter dirinya dilihat lemah lembut tidak sesuai dengan watak jahat. “Sebenarnya dari dulu lagi saya teringin membawakan watak antagonis tetapi tidak pernah dapat.

Saya selalu dapat watak yang baik dan ada juga watak psycho. Saya tidak tahu kenapa saya tidak diberi peluang untuk melakonkan watak-watak jahat. Saya rasa mungkin muka saya tidaklah begitu baik kan? Saya boleh sahaja buat muka garang tetapi mungkin juga disebabkan daripada segi cara percakapan ramai menyangka saya seorang soft spoken,” katanya. Elisya berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa majlis perasmian dan pengenalan duta bagi produk Gattox yang diadakan di Plaza Vads Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon drama Aku Hanim ini tidak menolak sekiranya diberikan watak sebagai seorang perampas atau kini lebih popular dengan gelaran penyondol. Tambahnya lagi, sekiranya watak yang dibawa itu mengundang kebencian bermakna ia adalah salah satu pencapaian kerana mampu menyampaikan karakter berkenaan dengan baik. “Saya juga tidak menolak sekiranya mendapat tawaran sebagai wanita penyondol kerana kita hanya berlakon. Bagi saya kalau kita berjaya membuatkan penonton benci dengan watak penyondol itu, ia bermakna kita berjaya dapat menyampaikan karakter tersebut dengan baik.

“Kalau saya dapat membawa watak penyondol atau antagonis sehingga berjaya buat orang benci itu adalah satu pencapaian bagi saya,” ujarnya. Kata Elisya lagi, atas nasihat suami iaitu Uzair Haqimy, 26, dia lebih berhati-hati dalam memilih watak yang dibawa kerana enggan memainkan peranan sama menerusi setiap drama lakonan. “Suami saya ada memberitahu sudah tiba masanya untuk saya memilih watak dan jalan cerita sesuai.

“Saya dapat banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa menolak kerana kebanyakannya mempunyai jalan cerita dan watak yang sama,” ujarnya. Untuk rekod, Elisya mula aktif dalam bidang lakonan sejak 2014 dan antara drama-drama popular yang pernah dibintanginya termasuk Puteri Yang Ditukar, Pujaan Hati Kanda, Misteri Mona, Ratu Ten Pin dan banyak lagi. Dalam perkembangan lain, Elisya dan pelakon Nora Danish dipilih sebagai duta Gattox iaitu produk makanan tambahan yang memberi kesan penurunan berat badan keluaran Inayah Beauty.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Inayah Beauty, Dini Qistina Latifi memberitahu pemilihan Elisya dibuat kerana melihatkan kepada keistimewaan dan aura yang dimiliki aktres berkenaan. Kata Dini, selain perwatakan Elisya yang merendah diri, aktres berkenaan juga mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan peminat. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.