Rupanya ini sebab wajah Sharnaaz dan Beto Kusyairy tiada dalam kempen raya Bulan Bintang 2024

KETIADAAN pelakon Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy sebagai wajah kempen raya 2024 jenama pakaian Bulan Bintang mengundang pertanyaan warganet di media sosial. Tampil mengulas mengenai perkara itu, pengasasnya iaitu Azzim Zahid Azmi, 27, menjelaskan kedua-dua aktor itu telah menamatkan kontrak bersama jenama berkenaan pada tahun ini. Meskipun tidak lagi bekerjasama dalam kempen kali ini, Azzim berkata mereka masih mengekalkan hubungan baik dan tidak timbul sebarang isu berbangkit.

“Ketiadaan mereka tahun ini kerana kontrak dah habis. Sejujurnya saya dengan Sharnaaz dan Beto tiada masalah. Buktinya semasa majlis kahwin saya pada bulan November lalu mereka datang… walaupun dah habis kontrak mereka tetap menghadiri majlis perkahwinan saya dan kami masih kawan sampai hari ini,” katanya. Azzim menjawab mengenai perkara itu semasa sidang media Bulan Bintang The Terrrrpaling Raya Fashion Show 2024 yang diadakan di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Mengetahui dua aktor itu kini merupakan duta jenama baju Melayu lain, Azzim berkata dia sentiasa bersikap profesional dan memberikan sokongan kepada dua sahabatnya itu. “Mereka memang bebas untuk kemana-mana, saya tiada isu tentang itu, mereka kerja sangat baik sehingga saya terhutang budi pada mereka. Mereka ada pilihan dan saya okay. Selepas kontrak mereka tamat, saya dah bersedia tengok mereka berada di jenama lain pula,” ujarnya. Berkongsi perkembangan mengenai Bulan Bintang, Azzim berkata dia sudah berbelanja RM11 juta ringgit untuk kempen raya pada tahun ini.

Malah, usahawan itu memberitahu RM3.2 juta sahaja digunakan untuk cabutan bertuah kepada pelanggannya. “Bajet tahun ni secara total sudah RM11 juta digunakan. Bajet nampak besar tapi RM11 juta tak seperti tahun lepas iaitu persembahan drone RM3 juta dan konsert RM2 juta. Ketika itu saya belanja untuk branding. “Tapi tahun ini, RM3.2 juta sahaja dihabiskan untuk cabutan bertuah untuk beri kepada pelanggan,” katanya. Untuk rekod, tahun 2024 jenama bulan bintang melantik enam orang duta iaitu Shukri Yahaya, Remy Ishak, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Hannah Delisha, dan Daiyan Trisha.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.