Nak balik tapi sekarang masih sibuk, Yusof Haslam dedah Syamsul ada hubungi saudara terdekat kongsikan tentang luahan hati

PENGARAH┬áDatuk Yusof Haslam memaklumkan anaknya iaitu Syamsul Yusof ada menghubungi saudara terdekat dan berkongsi luahan mengenai hubungannya dengan keluarga. Menurut Yusof, 70, dia tidak berkecil hati Syamsul masih belum pulang ke rumah dan berasakan anaknya itu masih lagi merajuk dengan mereka. “Dia ada cakap dengan sepupu dan saudara mara kami yang dia sayangkan ibu dan ayahnya. Dia cakap nak balik tetapi sekarang masih lagi sibuk.

“Mungkin dia masih merajuk la agaknya. Sebagai mak ayah kita tak ambil hati tapi anak-anak ni lain sikit. Saya faham anak-anak ada jalur kehidupan mereka sendiri. Saya percaya apa yang disampaikan kepada sepupunya itulah suara hati sebenar dia,” katanya. Yusof berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tayangan perdana Filem Sheriff yang diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Meskipun tidak pulang berhari raya bersama keluarga, Yusof percaya suatu hari nanti Syamsul pasti akan pulang bertemunya dan isteri iaitu Datin Patimah Ismail. Buat masa ini, Yusof berkata dia mahu memberikan masa buat Syamsul, lebih-lebih lagi pengarah itu sedang sibuk dengan filem terbaharu berjudul The Original Gangster. “Bagi saya sama ada dia balik atau tidak itu sudah tidak menjadi satu hal. InsyaAllah dia akan balik kerana saya dan isteri juga sudah terbuka serta tiada rasa marah.

“Saya percaya dia akan balik InsyaAllah. Berilah dia sedikit masa mungkin dia sedang sibuk sekarang. Tak mengapa saya pun tidak mahu menganggu dia. Sebagai ibu bapa, kalau kita yang mencari dia, rasa tak sedap pula,” ujarnya. Dalam pada itu, Yusof memberitahu dia dan isteri sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak sulung mereka. “Saya dan isteri sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Syamsul. Walaupun Syamsul tidak bersama produksi saya, sebagai bapa yang berikan dia peluang sebagai pengarah daripada mula lagi.

“Saya doakan filem dia The Original Gangster mendapat sambutan ramai walaupun tidak bersama produksi saya lagi,” katanya. Untuk rekod, Syamsul sebelum ini mengumumkan dia bernikah dengan pelakon Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari tahun lalu. Pada 14 Jun 2023, Syamsul sah berpisah talak satu dengan aktres Puteri Sarah Liyana selepas 9 tahun mendirikan rumah tangga. Yusof sebelum ini juga pernah memberitahu Syamsul sudah lama tidak pulang ke rumah tanpa mengetahui punca sebenar.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.