Minta untuk pulang ke rumah awal, Azlee Senario dedah 4 hari di hospital bil mencecah RM40k

Pelakon dan pelawak, Azlee Senario dilaporkan meminta untuk keluar hospital lebih awal selepas dinasihatkan untuk berehat selama sebulan bagi proses kesembuhan. Memetik laporan Berita Harian, pemilik nama Azlee Jaafar ini memaklumkan keadaan kesihatannya semakin stabil selepas melakukan prosedur peletakan sten di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Jun lalu. “Alhamdulillah, saya dalam keadaan stabil sekarang.

Keadaan saya bertambah baik selepas melakukan prosedur sten. Saya sudah keluar hospital dan berehat di rumah. Kalau nak diikutkan doktor memang tak benarkan saya pulang untuk biarkan jantung saya benar-benar pulih, tapi saya mohon keluar. Saya bukan tak nak duduk di hospital, tapi empat hari pun bil sudah mencecah RM40,000. Saya pula tiada insuran sebab dulu saya ada penyakit hempedu dan hati. Keluarga berkongsi duit, selain bantuan Yayasan Selangor.”

Berkongsi mengenai keadaan dirinya ketika dimasukkan ke hospital, Azlee mendedahkan keadaannya sangat kritikal kerana jantungnya tersumbat sebanyak 99 peratus dan salah satu urat pada injap jantungnya putus. “Saya terus menjalani operasi pada hari sama sebab doktor kata kalau lambat lima minit mungkin saya sudah tiada. Operasi dilakukan selama tiga jam, bila sedar sahaja saya sudah berada di CCU.”

Atas nasihat doktor, pelakon filem ‘Senario XX’ memaklumkan dirinya kini perlu menjaga pemakanan dan elak makanan berkolesterol tinggi. “Yang utamanya saya kena elak makanan berkolesterol. Keduanya, perkara ini juga boleh disebabkan akibat tekanan kerja dan sebagainya, jadi mungkin jantung pam laju. “Doktor ada nasihatkan saya apa yang boleh makan dan tidak boleh. Terima kasih kepada pihak media yang mengambil berat.

Apa yang dapat kongsi, jangan makan makanan berkolesterol kerana ia boleh menutup injap jantung.” Terdahulu, Azlee ke klinik berdekatan rumahnya selepas mengalami kesukaran untuk bernafas sebelum dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB). HSB kemudiannya membawa Azlee ke IJN untuk menerima rawatan lanjut, sebelum menjalani pembedahan dan prosedur meletakkan sten pada hari sama.

Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.