Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan kebimbangan dan menggesa pembebasan segera semua aktivis serta sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel selepas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa, pada Khamis. Menerusi hantaran di media sosial rasmi, beliau menggesa agar semua aktivis dan sukarelawan terlibat dalam misi kemanusiaan yang ditahan rejim Zionis Israel dibebaskan segera.

“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera! Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.
Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel. Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.”
Beliau turut menegaskan Malaysia akan menggunakan segala saluran sah berasaskan undang-undang antarabangsa untuk menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila melibatkan keselamatan warganegara. “Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.
Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan.” Setakat artikel ditulis, seramai 12 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dipintas ketika berada di perairan antarabangsa pada Khamis.
Antara yang ditahan ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri, Sul Aidil, Farah Lee dan Danish Nazram. Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.