Makin kerap muncul bersama, Nora Danish pilih untuk tak berikan sebarang pengesahan tentang status hubungan dengan Mickey Ayo

Advertisements
Advertisements

Pelakon, Nora Danish memilih untuk tidak memberikan sebarang pengesahan mengenai status hubungannya dengan perunding kewangan, Mickey Ayo, meskipun mereka dilihat semakin kerap muncul bersama sejak kebelakangan ini. Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif, 43, berkata, masih terlalu awal untuk mereka berkongsi hal peribadi, apatah lagi berkaitan soal hati. Klik sini untuk lihat video.

“Saya fikir masih terlalu awal untuk kami komen lebih lanjut. Insya-Allah, kalau ada apa-apa yang baik dan perlu dikongsi, kami akan beritahu perkara itu.” Nora berkata demikian ketika ditemui dia program Amber Allstar Picklebash yang diadakan di sekitar ibu kota, pada Khamis. Dalam pertandingan tersebut, Nora dan Mickey bergandingan sebagai satu pasukan dan berjaya meraih tempat ketiga, sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM3,000 beserta trofi.

Diminta mengulas mengenai doa yang dititip peminat, Nora meluahkan rasa syukur dan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan yang tidak pernah putus. “Sejak dahulu saya sangat bersyukur kerana memiliki penyokong yang sentiasa mendoakan yang terbaik dan bersama dengan saya sejak awal hingga sekarang. Terima kasih banyak kerana terus berada di sisi saya hingga hari ini. Saya amat menghargainya dan semoga kalian terus mendoakan yang terbaik buat semua.”

Mengulas mengenai Mickey yang kini mula menjadi tumpuan, Nora mengakui teman rapatnya itu masih menyesuaikan diri dengan perhatian orang ramai. “Sebenarnya, saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa. Jika sudah tertulis begitu, saya terima sebagai takdir. Kadang-kadang memang ada tekanan, terutama bagi Mickey kerana dia tidak biasa dengan perhatian umum. Tetapi, saya selalu ingatkan dia supaya melihat semuanya dari sudut yang positif. Setiap perkara pasti ada hikmah.

Saya juga selalu latih Mickey untuk menjadi kuat daripada segi mental dan fizikal. Dalam dunia ini, pasti ada yang suka dan ada yang tidak, itu lumrah.” Sementara itu, Mickey mengaku dirinya agak kekok dengan perhatian yang diterima sejak rapat dengan selebriti popular itu. “Memang sedikit kurang selesa sebab saya tak biasa dengan situasi begitu. Bidang saya pun bukan dalam dunia hiburan. Tapi, inilah dia, apabila kita berkawan dengan selebriti, perkara seperti ini memang tak dapat dielakkan.”

Imbas kembali, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum bercerai pada 19 Jun 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7. Aktres itu juga pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 2006 dan berpisah pada 2008. Mereka memiliki seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 17.

Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.