PELAKON Erysha Emyra mengakui jiwanya berasa sangat kosong selepas berdepan detik paling hitam dalam hidup apabila kehilangan bapa tersayang iaitu Datuk Zakaria Abdul Rahman pada 29 Mei lalu. Erysha, 27, berkata, meskipun masih berduka, dia terpaksa menguatkan semangat dan mengetepikan seketika perasaan sedih itu demi menyelesaikan komitmen kerjaya seni yang sedang berjalan.
“Saya tidak tahulah, saya sangat sedih dengan pemergian ayah. Sekarang ini saya cuba yang terbaik untuk tolak tepi. Ia sangat sukar dan susah untuk saya. Saya tolak tepi perasaan itu sekejap sebab saya ada beberapa komitmen, kena masuk set dan sebagainya. Nanti mungkin lepas habis cerita ini baru saya akan fikir semula,” katanya.
Mengimbau semula detik sebelum pemergian bapanya, Erysha mendedahkan dia berasa ralat kerana jadual penggambaran yang padat mengehadkan masanya untuk menjaga Allahyarham ketika sedang sakit. Bagaimanapun, dia bersyukur apabila pihak produksi memahami dan memberikan pelepasan kepadanya sebaik sahaja mendapat tahu mengenai situasi cemas bapanya.
“Masa dia sakit itu saya sibuk dengan sesi penggambaran dan saya kekurangan masa. Tapi saya bersyukur sebab produksi ini bila saya beritahu mereka dan cakap yang ayah saya masuk kecemasan, mereka terus bagi cuti. Dan bila sampai kecemasan, ayah dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) dan terus ditidurkan. Masa dia ditidurkan, produksi terus bagi saya cuti seminggu. Saya bersyukur sebab dapat luangkan masa dengan ayah,” kongsinya.
Malah kata Erysha dia merupakan satu-satunya individu yang berada di sisi ketika Allahyarham bapanya menghembuskan nafas yang terakhir. “Ayah saya pergi depan saya, saya seorang sahaja yang ada dengan ayah. Sangat bersyukur sebab kalau pergi set (waktu itu), saya takut akan jadi lebih sedih.
Semua (benda paling rindu) sebab saya sangat rapat dan manja dengan dia. Bila dia tidak ada, saya rasa kosong,” ujarnya. Dalam pada itu, Erysha turut berkongsi pesanan terakhir yang ditinggalkan buat dirinya dan keluarga agar kekal bersatu padu. “Ini bukan satu benda mudah untuk seseorang itu nak hadap bila kehilangan. Mungkin makin lama akan makin reda dan okay. Sekarang mungkin tidak ada doa seorang ayah, tapi kitalah yang kena doakan dia.
Dia minta saya jaga keluarga, jaga amanah dia dan staf. Dia pasti mahu saya gembira dan bersatu,” katanya. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.