PELAKON Datin Intan Najuwa tampil menjelaskan salah faham yang timbul dalam kalangan pengikutnya selepas berkongsi hasrat untuk mencuba kaedah vaginal birth after caesarean (VBAC) bagi kelahiran anak kedua. Menurut Intan, 29, perkongsian yang dibuat menerusi Threads sebelum ini bukan bertujuan mempertikaikan kaedah kelahiran secara caesarean (czer), sebaliknya dia hanya mahu mendapatkan pandangan dan pengalaman daripada ibu-ibu yang pernah melalui proses tersebut.
“Saya rasa ada sedikit salah faham mengenai status saya sebelum ini tentang VBAC. Saya cuma bertanya tentang tip dan pengalaman daripada ibu-ibu yang pernah melalui VBAC kerana doktor saya telah memberi lampu hijau untuk saya mencubanya. Sudah tentu saya gembira untuk meneroka pilihan itu,” katanya menerusi hantaran di Thread.
Sekadar info, VBAC merupakan kaedah bersalin normal selepas seseorang itu pernah menjalani kelahiran secara pembedahan atau caesarean. Intan turut menegaskan dia tidak pernah menentang kaedah kelahiran secara pembedahan memandangkan anak pertamanya juga dilahirkan menerusi prosedur tersebut atas faktor kesihatan. Katanya, keputusan menjalani pembedahan ketika itu dibuat tanpa sebarang keraguan selepas mendapat nasihat daripada doktor.
“Anak pertama saya dilahirkan melalui C-section kerana pada waktu itu keutamaan saya sama sahaja iaitu asalkan bayi dan ibu selamat serta sihat. Malah, sayalah orang yang terus bersetuju apabila doktor menasihatkan saya untuk menjalani pembedahan tersebut,” ujarnya. Dalam pada itu, Intan menjelaskan keinginannya mencuba VBAC bukan kerana terlalu mengutamakan kelahiran normal atau mahu membuktikan sesuatu kepada sesiapa.
Ini kerana dalam jua keadaan dia tetap memastikan keselamatan serta kesihatan ibu dan bayi. “Ia tidak pernah tentang nak sangat beranak normal atau mahu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Kalau saya berpeluang melalui pengalaman VBAC, Alhamdulillah. Kalau tidak, itu pun tidak mengapa. Pada akhirnya, saya akan sentiasa mengikut nasihat doktor dan memilih apa yang paling selamat untuk ibu dan bayi,” katanya.
Pada masa sama, Intan turut menepis dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan perbincangan mengenai VBAC dengan isu kaum atau mentaliti tertentu. Menurutnya, setiap wanita mempunyai pengalaman serta pilihan berbeza berkaitan proses kelahiran tanpa mengira latar belakang bangsa. “Perkara ini langsung tiada kaitan dengan kaum atau mentaliti Melayu. Saya ada kawan daripada pelbagai bangsa dengan pilihan dan pengalaman yang berbeza-beza.
Ada yang lebih memilih kelahiran normal, ada yang memilih caesarean dan ada juga yang hanya mengikut apa yang paling selamat apabila tiba masanya. Saya sebenarnya cuma bertanya tentang tip dan pengalaman VBAC, bukannya memulakan perdebatan tentang kaum, kaedah bersalin atau cara pemikiran,” jelasnya. Sebelum ini, Intan mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen selepas memuat naik hantaran di Threads meminta perkongsian tip serta pengalaman daripada ibu-ibu yang pernah menjalani VBAC.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.