Penyanyi Sissy Imann, 28, menepis dakwaan dia menangis di pentas Famili Duo yang mencetuskan kontroversi hangat itu sebagai strategi ‘gimik’ menjual albumnya, sekali gus meraih keuntungan berganda apabila 1,000 unit dicetak habis dijual. Sissy ditemui berkata, apa yang berlaku bukan gimik kerana keputusan menjual album dirakamkannya di Abbey Road Studios, London itu dengan harga RM20 dibuat secara drastik dalam keadaan emosi diri tidak terkawal. “Kalaulah saya betul-betul nak buat gimik dengan menangis di pentas dan fikir keuntungan, lebih baik saya jual album itu dengan harga RM150 atau lebih. Sebab masa itu pun, orang memang tengah kasihankan saya dan mana tahu mereka sanggup nak beli juga.
“Tapi, sebaliknya saya turunkan harga amat rendah yang sebenarnya merugikan saya dan tak apalah. Pada ketika itu, saya buat keputusan dengan emosi menerusi hantaran di Instagram tanpa berbincang dengan ibu bapa dan keluarga. Dalam fikiran saya hanya nak album itu cepat-cepat habis dijual sebab dah taknak tengok lagi. “Saya jual dengan harga RM20 itu termasuk caj penghantaran, memang tak untung pun sebab penghantaran ke Singapura saja, RM78. Tapi, apa nak buat sebab itu keputusan saya sendiri yang gagal kawal emosi dan kesedihan diri sendiri,” katanya kepada Harian Metro. Mengulas rasa kesal dengan keputusan dibuat itu, Sissy berkata, selepas keadaan dirinya tenang dan boleh berfikir dengan baik, memang dia menyesal dengan keputusannya berikutan penghasilan album itu diakui sangat bermakna buat dirinya.
“Sejak kecil saya dah berhasrat ingin merakamkan album di Abbey Road Studios, London itu dan ia bukan peluang mudah kerana kos pembikinan ditanggung sendiri juga besar, ia membabitkan perbelanjaan mencecah enam angka yang saya kumpul dalam tempoh lama sebagai penggiat seni. “Namun, saya percaya walaupun tidak untung dari segi pulangan wang untuk penjualan album ini, tapi Allah gantikan dengan rezeki yang lain seperti saya kembali bersemangat untuk bekerja semula, ramai orang mula mengenali muzik saya dan ia perkara amat disyukuri,” katanya.
Memuatkan enam lagu, Sissy berkata perancangannya terhadap album sulung itu, pastinya dia akan membuat cetakan semula untuk memenuhi permintaan pembeli dan menjual dengan harga RM50 seunit, selepas ini termasuk mengenakan caj penghantaran. Mengulas lokasi pembikinan album itu, Sissy berkata dia memilih Abbey Road Studios, London kerana sinonim dengan kumpulan The Beattles yang amat diminatinya.
Katanya, banyak album The Beattles dirakam di sana termasuk penyanyi antarabangsa terkenal lain juga. “Pengalaman paling bermakna, saya ialah diberi tempoh 10 jam untuk merakamkan enam lagu di studio itu dan ia masa yang singkat. Saya tidak pernah laluinya ketika membuat rakaman lagu di Malaysia. Jadi, saya kena cabar diri buat yang terbaik. Selain, saya juga merakamkan satu lagu berjudul Tersakiti sambil menyanyi dan bermain piano yang dibuat secara ‘one take’,” katanya. Sumber, utusan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.