Nak cipta lagu, Kini Snoop Dogg dan Joe Flizzow tampil nyanyi lagu khas tema JDT

Kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT) sering melakar nama sendiri. Kini tular pula Kelab JDT mencipta kolaborasi bersama Universal Music Asia Tenggara dan syarikat rakaman Def Jam untuk menghasilkan lagu tema berjudul Pioneers yang menjadi tanggungjawab buat penyanyi rap ternama dunia, Snoop Dogg. Malah pemilik kelab bola sepak tersebut, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bahawa JDT antara salah satu kelab yang sentiasa bertekad untuk menunjukkan segala yang terbaik hanya demi kemajuan kelab bola sepak. “Apabila bercakap tentang kelab JDT, saya dah cakap berulang kali, ini bukan hanya sebuah kelab bola sepak. JDT merupakan satu empayar. Saya tidak hanya cipta sebuah kelab bola sepak yang biasa-biasa tetapi mempunyai aspirasi dikenali di peringkat antarabangsa. Itulah idea penubuhan JDT, sebuah kelab bola sepak yang bagi saya, mempunyai cerita penuh inspirasi,” titah baginda.

TMJ juga tampil dedahkan, pada mulanya JDT ditubuhkan, ramai yang menganggap mudah soal masa depan kelab ni yang ramai dedah sudah diramalkan kelab ni hanya boleh bertahan hanya untuk beberapa tahun sahaja namun sebaliknya. “Saya akan buat tidak kira berapa ramai yang tidak percaya tentang projek kami. Ramai orang meramalkan bahawa kelab ini hanya akan bertahan untuk tempoh dua tahun. Hari ini, kami dah berusia 10 tahun dan kami semakin kuat hari demi hari. Bina kelab bola sepak perkara yang paling susah adalah untuk mendapatkan hasilnya. Untuk mendapat hasil dan wujud bersama secara komersial, ia sesuatu yang kita tak boleh jangka kemungkinannya. Kadang-kadang saya cubit diri saya sendiri apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang nyata. Sekarang dah jadi satu kelab yang hebat dan semakin bergerak ke hadapan, kami akan terus komited memperkenalkan jenama yang dibangunkan ke serata dunia,” jelas TMJ.

Lagu Pioneers nyanyian khas daripada Snoop Dogg dan juga Joe Flizzow adalah diterbitkan oleh SonaOne. Malah lirik lagu diilhamkan sendiri oleh JDT untuk menetapkan standard baru bola sepak di negara kita yang kejayaannya dicapai sejak tahun 2013. Rakaman vokal bakal dirakamkan di Los Angeles, Amerika Syarikat dan juga Kuala Lumpur. Malah proses susunan lagu dan juga adunan muzik pula bakal dilakukan di Los Angeles. Video muzik Pioneers bakal dilancarkan hari ini pada semua akaun media sosial rasmi JDT dan juga saluran YouTube JDT di TV. Untuk maklumat lanjut, layari www.johorsoutherntigers.my dan akaun media sosial JDT. Sumber: KOSMO! ONLINE

Sultan Johor, TMJ tiba di Istana Bukit Serene untuk istiadat angkat sumpah MB. Sultan Ibrahim tiba di istana dengan menaiki Rolls Royce bersama kenderaan pengiring sekitar pukul 2.54 petang Selasa. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah tiba di Istana Bukit Serene untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri bBesar Johor yang baharu. Baginda tiba di istana dengan menaiki Rolls Royce bersama kenderaan pengiring sekitar pukul 2.54 petang Selasa (15 Mac). Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah tiba di pintu gerbang istana lebih awal kira-kira pukul 2.40 petang. Difahamkan penyandang Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Adun Machap yang baru dilantik, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga tiba di istana melalui pintu belakang lebih awal. Onn Hafiz dijangka akan dilantik menjadi Menteri Besar Johor yang baharu. Difahamkan majlis angkat sumpah menteri besar baharu berusia 44 tahun itu dijangka dijalankan kira-kira pukul 3 petang di Istana Bukit Serene. Sumber: Mstar

Ingat saya tak ada duit ke? – TMJ. Pemilik Kelab Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas pihak yang cuba memainkan persepsi bahawa Harimau Selatan menjadi kelab kaya kerana mengaut projek-projek di negeri Johor. Sebaliknya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataan di laman Instagram miliknya menegaskan bahawa keluarga Diraja Johor sudah terbabit dalam perniagaan sejak 1897 dan pendapatan JDT turut disumbang dari segi penajaan. “Ia bukan suatu perkara yang aneh yang perlu disembunyikan kepada rakyat. Keluarga Diraja Johor bukan baru-baru ini menjadi kaya mengangkut duit kerajaan atau duit rakyat. Bukan kaut hasil untung negara dan membawa lari keluar dari negara. Baru-baru ini ada ‘page’ (laman sosial) bola tidak rasmi yang diuruskan oleh individu yang menguruskan kelab bola sepak memainkan persepsi seolah-olah JDT menjadi kaya kerana mengaut projek-projek di Johor. Awak ingat saya ini tiada duit ke? Ini adalah kelab bola sepak paling berjaya dalam negara sejak sembilan tahun kebelakangan ini dari segi nilai komersial, pendapatan dari penaja tempatan dan antarabangsa, meraih kejuaraan dan pembangunan bola sepak,” tulis TMJ.

Selain itu, TMJ turut menegaskan bahawa JDT bukan kelab yang memberi janji manis atau palsu kepada penyokong dengan menggunakan duit kerajaan. “Ambil duit kerajaan, sedangkan negeri sendiri ada masalah air. Lebih baik peruntukan tersebut diguna pakai untuk memberi air kepada rakyat Selangor dan menjaga rakyat daripada memberi kepada Izhar Moslim yang menjaga kelab bola sepak Selangor seperti dimiliki olehnya, tetapi tiada apa-apa sejak enam tahun. Tiada duit, tiada nilai komersial, tiada piala dan tiada apa-apa. Nasihat saya, kepada pucuk kepimpinan dan seluruh pengurusan sila letak jawatan segera. Sampai bila nak menggunakan peruntukan negeri demi menguntungkan poket individu yang berada dalam kelab. Tak payah asyik seru penyokong untuk bersatu memberi sokongan sedangkan anda semua adalah punca kegagalan kelab,” katanya.

‘Kalau ‘kena’ dengan TMJ senyap pula…’ Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan bagaimana beberapa statut berhubung Artikel 61, 82 dan 88 berfungsi terhadap pemilik kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sekiranya didapati mengkritik badan induk itu. Jelas Khalid, jika peraturan sama turut terpakai ke atas pemilik kelab, seharusnya Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu didakwa oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM seperti mana yang pernah dikenakan ke atas jurulatih ataupun pegawai pasukan.

Katanya, kelab swasta yang bersekutu di bawah Persatuan Bolasepak Negeri (FA Negeri) masing-masing sebenarnya masih terikat dengan artikel itu yang melarang individu membuat kenyataan atau komen semasa temu ramah berhubung isu membabitkan FAM tanpa kebenaran. Malah, dalam artikel sama juga dilarang untuk mengecam mengenai urusan pentadbiran hal ehwal FAM dan ia termasuk soal pengurusan skuad kebangsaan. “Ada klausa (peraturan) melarang mereka yang dalam bola sepak negara mengkritik secara terbuka. Macam saya tak mengapa, sebab saya bukan jurulatih atau dalam FA negeri. Sebelum ini, ramai dah jurulatih dan pegawai yang dah kena gantung sebab mengeluarkan kenyataan kepada FAM. Di sinilah pertanyaan timbul, adakah pemilik kelab boleh sesuka hati kritik FAM. Kalau tak boleh, kenapa tidak ada tindakan. Mana boleh ada double standard dalam kuatkuasakan peraturan. Perlu adil dan sebab itu ramai yang pandang serong kepada FAM.

“Saya nak tengok sampai bila dan ia senyap saja inilah yang dikatakan ‘tangan ghaib bercabang enam’,” kata Khalid yang juga bekas anggota skuad utama Olimpik 1980 negara. Untuk rekod, beberapa pengendali pernah menjadi mangsa artikel 61, 82 dan 88 seperti B Sathianathan, Dollah Salleh, E Elavarasan dan terbaharu adalah jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya. Di bawah artikel terbabit, individu yang aktif di peringkat tertinggi bola sepak negara dilarang mengeluarkan kenyataan negatif terhadap FAM di hadapan media secara terus atau inuendo yang boleh memberi kesan buruk kepada badan induk itu. Sebelum ini, Tunku Ismail mengkritik kelemahan pengurusan FAM terutama selepas tidak menepati perancangan asal untuk menghantar skuad bawah 23 tahun negara (B-23) apabila sebaliknya pada saat akhir mengubah kepada skuad senior. Malah, kegagalan komunikasi daripada FAM yang tidak telus dalam menyampaikan maklumat berhubung status pemain yang tidak dipanggil turut menambahkan lagi masalah hingga menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan penyokong. Sumber: Hmetro

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.