PELAKONÂ Serina Redzuawan mendedahkan hubungan suaminya iaitu Meor Mohammad Aidid dan bapanya, Chef Wan sudah kembali pulih selepas timbul salah faham berhubung perkahwinan mereka sebelum ini. Serina, 40, berkata, semua salah faham itu akhirnya terungkai termasuk isu dia dikatakan merampas Meor daripada bekas isterinya selepas mengambil keputusan berkahwin hanya selepas dua bulan berkenalan. “Hubungan suami dengan Papa (Cef Wan), Alhamdulillah sudah pulih. Dulu ribut taufan melanda tapi Allah itu sebaik-baik perancang dan kadang-kadang itu apa yang berlaku ada hikmah di sebalik.
“Selepas Papa tahu hal sebenar, dia pun dah boleh terima suami saya sebab tidak pernah ada istilah sondol menyondol, rampas merampas. Saya sendiri memang duduk di KL jadi tak tahu dia ada masalah rumah tangga ke apa. Bila berlaku perpisahan di antara mereka (suami dan bekas isteri), kenapa saya pula dipersalahkan? Saya tidak tahu apa-apa sebab kami pun kenal dua bulan dan terus kahwin,” katanya. Serina berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Royale Fiesta Kelantan Tour yang diadakan di Kelab Golf Seri Selangor, Tropicana Damansara, Selangor pada Isnin.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila bekas isteri Meor iaitu Nur Hamizah Shaffee, 36, mendakwa Meor telah berkahwin dengan Serina tanpa kebenaran isteri pertama. Malah Hamizah juga menyangkal dakwaan Serina bahawa Meor berstatus duda dan bernikah secara senyap di Perlis pada April 2021. Bagaimanapun menurut Hamizah dia dilepaskan Aidid pada 9 Mac 2021 dan selepas sebulan mereka bercerai Serina mengumumkan berita perkahwinan mereka kepada umum. Sementara itu, Serina berkata, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 64, banyak memberikan nasihat untuk menjadi seorang isteri yang baik malah sering berpesan agar dia menjaga keperluan suami dengan baik.
“Alhamdulillah papa pun dah tahu hal sebenar dan semua ini pun jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah. Jadi, papa dah terima. Papa banyak memberi nasihat. Dia ni seorang yang tegas walaupun anak dia, kalau dia nak fire, dia fire saja. Dia ada cakap kalau nak jadi isteri jangan malas. Pastikan masak untuk suami, jaga elok-elok. Kalau tak jaga betul-betul nanti suami lari dia cakap,” ujarnya. Malah aktres itu juga bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa mentua yang baik dan dapat menumpang kasih seorang ibu selepas pemergian ibu kandung tercinta pada Mac 2020.
“Saya pun bersyukur dapat ibu bapa mentua yang sangat baik. Apa-apa nak mengadu telefon sahaja mereka. Kadang-kadang mereka yang lebih banyak telefon saya. Saya bersyukur sangat sebab ibu pun dah tak ada jadi mak mentualah tempat saya bermanja,” katanya. Untuk rekod, Serina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Gavin Edward O’Luanaigh pada 1 Januari 2010 namun disahkan berpisah talak satu di Mahkamah Rendah Daerah petaling pada 1 Ogos 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Tristan Tareef O’ Luanaigh, 13 dan Isabella Saffiya O’Launaigh, 12 tahun. Serina kemudiannya berkahwin dengan Meor pada April 2021 dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Sumber: MStar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.