Umum lagi memang kita ketahui dengan lelaki terkenal barat yang sudah lama menetap di Malaysia ini, siapa yang sering tengok Mat Dan Kaki Jalan mesti tahu lelaki ini. Penyampai radio, Mat Dan mendedahkan orang tuanya di England menyarankan agar dirinya berfikir panjang sekiranya ingin pulang ke kampung halaman kerana tidak mahu terjerumus ke kehidupan lama. Kata personaliti popular berbangsa Inggeris itu, ibu bapanya menyedari banyak perubahan positif dalam dirinya sejak menetap di negara ini sekali gus lebih risau jika dia kembali ke tanah air sendiri. “Saya datang sini masa umur 19 tahun dan sekarang saya dah 32 tahun. Bermakna 13 tahun saya bina kehidupan di Malaysia sehingga membina keluarga. “Sudah tentu kawan-kawan yang membesar dengan saya di England sudah stabil atau mempunyai kerjaya. Saya pula tentu tak tahu mahu kerja apa kalau pulang menetap semula di sana.
Katanya lagi “Dulu apabila maklumkan mak ayah saya rindu kampung, mereka suruh saya fikir masak-masak sebab risau tak tahu macam mana masa depan selain lebih suka tengok perubahan positif sejak tinggal di sini. “Bukanlah bermakna di Bristol saya terbabit dengan aktiviti buruk, cuma mereka tak ajak saya balik sebab yakin kehidupan saya lebih fokus di Malaysia,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa Hot FM dan Molek FM, baru-baru ini. Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Mohammad Kareef Daniel Abdullah itu berkata, dia tidak akan menolak untuk mengubah fikiran andai mempunyai alasan kukuh terutama membabitkan pendidikan permata hatinya. “Setakat ini tiada perancangan untuk balik dan tinggal di kampung saya pula. Tapi kita tak tahu, mungkin bila anak saya besar nanti dapat pula sekolah di sana. Itu memang saya tak boleh menolaklah,” katanya.
Menerusi perkahwinan dengan Nadifa Adnan pada 2017, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Zayne Taylor, dan Eydan Yusoff. Terdahulu, selain radio, Mat Dan sebelum ini pernah mengendalikan beberapa program televisyen termasuk Haramain Backpackers dan Mat Dan Kaki Jalan selain bergelar pelakon. Sementara itu, ditanya mengenai penyertaan bersama keluarga Molek FM, katanya, pelawaan yang diterima pengurusan radio tersebut sekitar Oktober tahun lalu dianggap sebagai rahmat. “Sejujurnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak rancangan serta kerja sampingan yang saya biasa buat sebelum itu dibatalkan. “Seperti orang lain yang terkesan, banyak masa saya berada di rumah sampai saya jadi buntu.
Lagi lagi pula apabila kerja yang dirancang tak menjadi, kita pun rasa sedih, tambah-tambah bila tengok anak. “Dulu bujang tiada masalah, tapi apabila sudah ada isteri dan dua anak. Jadi memang rasa susah hati. Masa itu sudah terfikir mahu cari kerja tetap. Selepas itu, ketika saya pulang ke UK (United Kingdom) datang pula tawaran sebagai penyampai Molek FM. Sebenarnya sepanjang 13 tahun saya di Malaysia, inilah pertama kali saya dapat kerja tetap,” katanya lagi. Sumber, kosmo online