SELEPAS dihimpit beberapa kontroversi, pelakon veteran Mak Wan Latah mengakui dirinya sukar mendapatkan tawaran lakonan. Mak Wan atau namanya Halimatussa’diah Mohd Daud, 62, berkata dia berusaha mencari peluang kerja daripada beberapa produksi tetapi ditolak dengan pelbagai alasan. Kata Mak Wan lagi, kesukaran untuk mendapatkan tawaran pekerjaan mungkin disebabkan dia terpalit dengan beberapa kontroversi panas sebelum ini. “Buat masa ini saya tak buat apa-apa, sudah lama tidak menjalani penggambaran drama.
“Saya ada tanya job pada produksi tetapi tidak tahu apa alasan mereka tidak mengambil saya berlakon. Saya rasa mungkin ada kaitan dengan kontroversi saya sebelum ini,” katanya. Mak Wan berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media ‘Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan’ yang diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis. Dalam pada itu, Mak Wan berkata salah satu alasan yang digunakan pihak produksi ialah mereka menginginkan pelakon yang mempunyai jumlah pengikut tinggi di media sosial.
Lebih membuatkan dia kesal apabila melihat produksi sering memberikan tawaran kepada individu sama sehingga menyebabkan pelakon sepertinya sukar mendapatkan pekerjaan. “Saya sudah berlakon 24 tahun, tapi bila dah tanya alasan stesen televisyen minta nak tengok (follower) media sosial. “Mereka hanya ambil nama-nama pelakon popular. Apa salahnya kongsi rezeki. Saya tak dengki. “Tapi balik-balik wajah yang sama. Apa jadi dengan kami yng tak ada job ni? “Saya dah tak ada duit. Takkan nak merayu pada anak. Mereka pun ada komitmen sendiri,” ujarnya.
Bagi menampung kehidupan, Mak Wan berkata dia kini giat menjalankan perniagaan jualan makanan Malah, dia juga mahu membuka lembaran baharu dan tidak mahu terpalit lagi dengan kisah kontroversi lama. “Saya kini berniaga di uptown. Malam ini (malam Khamis) saya akan ke Pulau Pinang untuk berniaga pelbagai jenis makanan termasuk sambal hitam, cookies dan bawang goreng. “Saya kena bina semula hidup saya. Yang berlalu biarlah berlalu… akaun bank saya pun tinggal kosong. “Apa yang berlaku biarlah berlalu saya tidak mahu ingat lagi,” ujarnya.
Pada 2022, Mak Wan terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk isu perkahwinan ketiganya yang bertahan hanya tiga bulan. Mak Wan turut terpalit dengan isu pertengkaran dengan bekas pembantunya yang dikenali sebagai Amell sehingga kes tersebut dibawa ke mahkamah. Untuk rekod, Mak Wan berkahwin dengan Husain Dolah pada 22 Januari 2022 di Pejabat Agama Islam Ipoh, Perak. Pasangan ini berpisah pada 21 April 2022 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.