Ramai tidak tahu rupanya perhiasan perak perlu dibersihkan secara berkala agar kilauannya tidak pudar. Sudah dua tahun barang aksesori dan perhiasan terperap dalam kotak sampai ada yang sudah berhabuk manakala rantai dan cincin perak pula berkarat. Mana tak berkarat, dahulu beli nak pakai ketika Aidilfitri tapi tak dapat beraya pula disebabkan pandemik Covid-19. Hendak beli baharu, aksesori yang ada pun masih belum digunakan. Boleh ke barang perhiasan perak yang sudah berkarat dikilatkan semula. Sebenarnya, rantai atau cincin perak perlu dibersihkan secara berkala agar kilauannya tidak pudar sekaligus warna asalnya kekal cantik. Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk mengilatkan semula barangan perak dan sekaligus mencegahnya daripada berkarat dan rosak.
Gunakan Air sabun
Untuk mengembalikan warna asal perhiasan anda, ada cara mudah dengan menggunakan bahan yang ada di dapur. Sediakan mangkuk, bancuhan air sabun pencuci pinggan dan berus gigi. Rendamkan barangan yang ingin dicuci dan biarkan ia selama limat minit. Selepas itu sental barangan tersebut menggunakan berus gigi atau berus kecil bagi memudahkan celah-celah bahagian yang telah berkarat dibersihkan. Bilas dengan air dan keringkan menggunakan kain mikrofiber.
Aluminium foil dan serbuk penaik
Cara berikutnya adalah salah satu kaedah yang efektif untuk membersihkan rantai atau cincin perak dengan menggunakan aluminium foil dan serbuk penaik. Masuk barangan perhiasan yang ingin dicuci ke dalam mangkuk yang telah dilapik dengan aluminium foil (pastikan bahagian berkilau dihadapkan ke atas dalam proses ini). Tuangkan air mendidih ke dalam mangkuk dan tambahkan satu sudu makan serbuk penaik dan biarkan semua barangan perak terendam selama beberapa minit. Anda pasti akan terkejut dengan hasilnya. Kemudian tuangkan air yang sudah mendidih ke dalam mangkuk melepasi perhiasan. Seterusnya, tambahkan sedikit demi sedikit serbuk penaik sebanyak satu sudu makan bersamaan satu cawan air. Hati-hati jika air masih panas, angkat dan bilas dengan air sejuk lalu keringkan menggunakan kain mikrofiber untuk membersihkan sisa kotoran pada perhiasan.
Ini cara menjaga barang perak daripada rosak
Terdapat beberapa cara untuk menjaga barangan perhiasan perak anda daripada rosak dan memastikan ia tetap bersinar meskipun usianya sudah agak lama, termasuklah. Simpan barangan perhiasan anda ditempat yang terlindung seperti di dalam kantung beg mikrofiber. Jangan sesekali simpan aksesori itu di dalam bilik air kerana ia akan membuatkan warnanya cepat pudar disebabkan haba panas daripada air panas dapat mempercepatkan kerosakan barangan itu. Jika ingin berenang, sebaik-baiknya tanggalkan perhiasan dan aksesori anda terlebih dahulu untuk mencegah kerosakan. Elakkan memakai barangan perak seperti rantai atau cincin ketika menyapu losyen atau sunblock. Sumber, mstar