SHAH ALAM – Seorang asnaf menulis surat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) memohon ditamatkan bantuan bulanan yang diterima selepas sudah sihat dan mampu menyara keluarga. Menerusi surat bertarikh 25 Februari 2022, lelaki berkenaan membuat permohonan berhenti bayaran zakat ke atasnya kerana pendapatan harian yang diterima mampu menampung keluarga. LZS menerusi kemas kini di Facebook pada Rabu berkata, sikap jujur lelaki berkenaan dipuji kerana tahu lebih ramai yang memerlukan bantuan daripadanya. Menurut LZS, lelaki berkenaan sebelum ini terpaksa memohon bantuan zakat kerana terjejas pendapatan disebabkan masalah kesihatan. “Walaupun berat hati namun beliau terpaksa memohon zakat kerana perlu berehat dan menjalani operasi esofagus atas nasihat doktor.
“Beliau sebelum ini bekerja sebagai pembaiki barangan elektronik berpendapatan sekitar RM1,300, menanggung tiga orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja,” menurut perkongsian di Facebook LZS pada Rabu. Surat ditulis asnaf berkenaan memohon LZS memberhentikan bantuan ke atasnya selepas mampu berdikari menyara keluarga. Jelas kenyataan itu, setiap tahun LZS akan membuat semakan semula untuk setiap asnaf bagi melihat kelayakan, sama ada perlu penambahan bantuan atau tidak. “Alangkah terkejut kami, apabila dimaklumkan sendiri olehnya ingin keluar (sebagai penerima bantuan) kerana keadaan sudah stabil dan menyatakan ada yang lebih layak menerima zakat berbanding beliau.
“Semoga ALLAH SWT permudahkan dan suburkan rezeki buatnya sekeluarga sepanjang zaman atas sifat jujur yang ditunjukkan. Moga menjadi teladan buat kita semua. “Alhamdulillah, hasil zakat yang dikeluarkan oleh pengeluar zakat, kita dapat membantu keluarga tersebut sepanjang beliau tidak bekerja,” kata kenyataan itu. Reaksi dari warganet, “Sebenarnya, dalam kehidupan kita, yang jujur, ada integrity, tu ramai. Tapi kita banyak sangat di sumbat dengan berita negative, tamak haloba” “Insan macam ini satu dalam sejuta. Respect!” “Syukur Alhamdulillah… Sikap yang baik, tidak tamak dan akhlak terpuji. Dia mengetahui hukum zakat sebab itu dia serah kembali kepada yang layak. Semoga kehidupan nya terus mendapat keredhaan, kerahmatan serta keberkatan Allah SWT hendakNya. Aamiin…”.