Mahu kenali jiran sebelah rumah, Ini tips yang harus anda lakukan untuk jalin hubungan baik

Menjaga hubungan dengan jiran sangat dituntut dalam Islam. Bagi yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bagai sudah menjadi perkara biasa tidak mengenali jiran tetangga kerana sibuk dengan aktiviti harian selain masing-masing buat hal sendiri. Maka tidak hairan sekiranya ramai yang tidak kenal atau pernah bertegur sapa dengan jiran dan keadaan itu perlu diubah kerana jiran sebenarnya adalah saudara dan keluarga terdekat kita jika berlaku kecemasan. Masih belum terlambat untuk mengenali jiran tetangga anda dan ada cara untuk membuka langkah dalam usaha mengeratkan hubungan terutamanya jika ada jiran baharu berpindah.

Memberikan hadiah

Anda boleh cuba memberikan hadiah kepada jiran sebagai tanda perkenalan apatah lagi jika mereka baru berpindah ke kawasan perumahan tersebut. Hadiah itu sebenarnya adalah sebagai satu metafora tetapi apa lebih penting ia telah membuka ruang persahabatan selain membuatkan jiran berasa kedatangan mereka dialu-alukan. Berikan hadiah dalam keadaan yang menarik seperti menyusun buah-buahan dalam bakul atau membalut hadiah menggunakan kertas pembalut.

Hadiah yang berguna

Hadiah yang diberikan tidak perlu mahal tetapi biarlah mempunyai kegunaan tertentu untuk jiran seperti jam dinding, pinggan mangkuk, perkakas membersihkan rumah dan sebagainya. Tidak hanya itu, anda juga boleh menghadiahkan tanaman hiasan seperti pokok hiasan. Hadiah seperti ini pastinya akan membuatkan jiran anda sentiasa mengingati kebaikan yang diberikan.

Peka

Jiran yang baru berpindah pasti mengambil masa untuk mengadapatasi tempat baharu. Sebagai jiran yang prihatin, cuba bertanya sama ada mereka memerlukan sebarang bantuan. Anda juga boleh membawa mereka meninjau kawasan sekitar seperti restoran dan kedai runcit berdekatan. Tetapi jangan pula terlalu prihatin sehingga membuatkan jiran berasa tidak selesa dengan anda.

Perkenalkan dengan jiran tetangga yang lain

Kebiasaannya, jiran baharu akan berasa segan untuk beramah mesra kerana masih belum mengenali penduduk di kawasan sekitar. Apa kata ajak jiran berjemaah di masjid dan dari situ boleh memperkenalkan dengan jiran-jiran yang lain sambil bertukar nombor. Jika ada grup WhatsApp boleh menjemputnya sebagai salah seorang ahli. Dengan cara ini, mereka akan lebih cepat menyesuaikan diri dan kurang berasa segan sekiranya ingin meminta sebarang bantuan.

Sedia menghulurkan bantuan

Proses berpindah ke rumah baharu mengambil masa yang lama dan biasanya ia akan mengambil masa seminggu untuk menyelesaikan semua perkara. Sebagai seorang jiran yang baik, hulurkan bantuan dengan membantu apa yang patut dan cara ini juga boleh mengeratkan hubungan di antara jiran. Sumber mstar