KUALA LUMPUR – Di tengah-tengah gosip kononnya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beristeri baharu, Ahli Parlimen Pekan itu kelihatan begitu bahagia meluangkan masa bersama keluarganya di padang golf. Isteri bekas perdana menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor berkongsi sembilan keping gambar Najib sedang meluangkan masa bersama anak dan cucunya di Forest City, Bandar Iskandar, Johor hari ini. Dalam perkongsian di Facebook Rosmah Mansor kelihatan anaknya Nooryana Najwa dan cucu mereka Adam Razak melihat Najib bermain golf.
“Waktu rehat keluarga di Forest City, Bandar Iskandar, JB. Adam menguji kemahiran bermain golf di hadapan datuk sebagai jurulatih. “Saya di mana? Dalam buggy dengan telefon saya. Cool sikit on the buggy,” kata Rosmah dalam hantaran terbaharu di Facebook. Sebelum ini sekeping foto sensasi imej Ahli Parlimen Pekan itu bersama sebuah keluarga disebarkan media. Foto tersebut kononnya gambar Najib bersama isteri baharunya sementara empat yang lain adalah anak kepada wanita tersebut. Dalam gambar yang masih belum disahihkan sama ada tulen ataupun telah diubah suai kelihatan wanita berkenaan merangkul erat lengan Najib.
Seorang rakan kepada Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penularan gambar bekas perdana menteri itu bersama seorang wanita yang memeluk lengan kirinya. Individu itu yang merupakan rakan akrab keluarga Najib dan Rosmah membuat laporan di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, petang semalam.Kata individu enggan dikenali itu, Najib dan Rosmah digambarkan “sangat terkejut” ketika ditunjukkan gambar berkenaan, yang tular di media sosial, baru-baru ini.
“Saya telah menunjukkan gambar dan kapsyen kepada Najib dan Rosmah di mana kedua-dua mereka sangat terkejut memandangkan ia tidak benar sebelum meminta bantuan saya membuat laporan kepada SKMM bagi tindakan selanjutnya. “Saya membuat laporan ini bagi pihak Najib dan Rosmah, dan seperti yang mereka minta, mereka memohon satu siasatan diambil sekiranya hasil siasatan membuktikan gambar berkenaan diedit dan kapsyen terbabit tidak benar. “Saya juga memohon tindakan diambil terhadap pihak berkaitan dari sudut undang-undang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Sejak semalam, tular sekeping gambar menunjukkan seolah-olah Najib dalam satu majlis di premis persendirian dengan seorang wanita yang memeluk erat lengan kirinya dan diapit empat individu lain. Identiti wanita terbabit menjadi tanda tanya dalam kalangan warganet, di mana beliau kelihatan tersenyum dan mesra berada di sebelah Najib, sehingga ada yang mengatakan wanita misteri itu isteri baharunya. Sementara itu, jurucakap SKMM ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan, semalam. MalaysiaGazette