Baru-baru ini, pelawak Along Cham menerima kritikan warganet kerana didakwa melarang bekas isterinya, Zila Seeron bertemu dengan anak tunggal mereka, Ahmad Danial. Dianggap sebagai perbuatan yang jahat, Along mendedahkan yang Zila sebenarnya tidak dibenarkan untuk membawa keluar Danial atau tidur di rumah kerana mengikut perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Along yang masih mengunci mulut tentang punca sebenar perpisahan mereka berkata, dia masih lagi berlembut jika mahu dibandingkan dengan lelaki lain yang melarang bekas isteri yang nsyz untuk terus bertemu dengan anak.
“Saya terima mesej daripada warganet di media sosial yang berkata kononnya mereka dapat maklumat yang saya tak benarkan Zila untuk datang jenguk anak dan bawa keluar daripada rumah. “Ada yang mungkin tak faham dengan situasi sebenar, atau tidak mengikuti kes perpisahan kami. Hal ini kerana, dalam perintah mahkamah, dia memang hanya dibenarkan untuk melawat anak. Yang ikut kes kami mesti faham, yang baru saja follow, mesti kata saya jahat,” katanya. Dalam pada itu, Along menambah, dia tidak pernah melarang bekas isteri untuk menjenguk anak dan mengakui pintu rumahnya sentiasa terbuka untuk Zila. “Memang saya tidak pernah cerita punca kami berpisah tapi saya tak pernah larang untuk dia datang jenguk anak.
Tentang penjagaan, saya berpendapat ramai yang faham tentang hukum nsyz. “Saya ni kira masih berlembut hati. Ada setengah lelaki tak bagi langsung bertemu dengan anak,” katanya lagi. Menyambung bicara, Along turut mendedahkan yang kali terakhir Zila bertemu dengan anak mereka adalah sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada awal tahun 2020. “Mungkin juga dia ada alasan tersendiri kenapa dia tak datang tengok anak. Tapi mereka berdua ada berhubung menerusi telefon. “Selain itu, saya pun dapat berita yang dia pun sudah mendirikan rumah tangga. Agaknya dia sibuk dengan tanggungjawab baharu. Saya nak marah pun tak boleh, dan takkan nak paksa dia datang tengok anak,” katanya lagi. Along mendirikan rumah tangga dengan penyanyi yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 4 (AF4) itu pada 23 Januari 2010 dan mempunyai seorang anak (Ahmad Danial). Bagaimanapun, pasangan ini berpisah talak satu pada 29 Ogos 2016.
Along tak serik kahwin lagi. Membesarkan anak sebagai bapa tunggal diakui pada mulanya agak sukar. Bagaimanapun, selepas dua tahun berpisah, baharu pelawak dan pelakon Along Cham, 39, mampu melaluinya dengan baik. Bagi Along, dia bertuah kerana mendapat bantuan ibu bapa dan keluarganya yang banyak memberi semangat untuk meneruskan kehidupan. Katanya, pada awal perpisahan dulu sering juga dia teringat kenangan bahagia lalu.”Pada tahun pertama dan kedua hidup sebagai bapa tunggal, memang masih terkenangkan saat indah bersama bekas pasangan kerana belum terbiasa dengan suasana hidup solo itu. “Ditambah, anak saya, Ahmad Danial, 11, pula ketika itu masih kecil dan mestilah ada masa dia bertanyakan dan mencari ibunya. Tapi, selepas bertahun-tahun berlalu, alhamdulillah masa mengubah segalanya. “Saya dan anak kini sudah terbiasa berdua bersama. Malah, saya hanya berjauhan dengan Danial apabila ada kerja di Kuala Lumpur dalam tempoh satu minggu. Biasanya, Danial dah tahu jadual kerja saya,” katanya.
Menurut Along, walaupun tidak serik untuk berkahwin, tapi soal jodoh biarlah Allah tentukan. Katanya, keutamaan dia sekarang lebih kepada Danial saja dan ia sudah cukup membahagiakannya. “Enam tahun sudah hidup menduda, saya okey saja. Tidak rasa terdesak pun mencari pengganti baharu. Ini kerana saya perlu memilih pasangan yang sesuai demi kegembiraan anak juga. “Saya mahu ‘calon isteri’ itu nanti seorang yang betul-betul dapat terima Danial dengan ikhlas. Saya tidak mahu dia (calon isteri) hanya terima dan sayangkan saya saja, namun Danial tidak dikasihi secukupnya. “Sekarang kebahagiaan anak saya yang penting kerana kami sangat rapat. Danial akan hubungi saya untuk mengingatkan segera balik ke Johor bertemunya jika sudah terlalu rindu,” katanya lagi. Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad berkata, walaupun ada saja wanita yang cuba mendekati, hatinya belum terbuka dan masih memilih terbaik buat anak tunggal kesayangannya.
Meraikan Aidilfitri seperti tahun-tahun lalu, Along berkata kualiti masa memang difokuskan kepada Danial. Katanya, dia sudah berasa ‘lengkap’ apabila Danial ada di sisi berikutan mereka saling memerlukan di antara satu sama lain. Terdahulu, Along pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan bekas bintang Akademi Fantasia 4 (AF4), Zila Saeron pada 2011. Namun, jodoh tidak panjang apabila mereka berpisah talak satu pada 29 Ogos 2016 selepas lima tahun hidup bersama. Bersyukur kerjaya seninya masih bersinar, Along akan membintangi filem baharu arahan Mawi iaitu Zim Zim Ala Kazim. Sebelum itu, Along sudah berlakon dalam filem Tiada Tajuk dan Hantu Kuat Ketawa.