Usah tunggu hingga kaya, beri makanan antara langkah mudah bersedekah, next time beli lebih untuk kawan

Banyak cara untuk kita kongsi rezeki sebenarnya. Berkongsi makanan boleh dilakukan melalui makanan yang sengaja dibeli lebih untuk disedekahkan kepada sesiapa memerlukan. Rezeki merupakan satu pemberian Allah yang tidak ternilai. Segala yang diberikan Allah untuk keperluan rohani dan jasmani adalah rezeki. Firman Allah, (Maksudnya): “Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagiamu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak akan menyukai orang yang berbuat kerosakan.” [Surah al-Qasas ayat 77]

Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, Allah SWT menyuruh kita berusaha mendapatkan akhirat dan jangan melupakan dunia terutamanya dalam mencari rezeki. Rahmat Allah SWT begitu luas kepada makhluk-Nya sehingga setiap kelahiran dan ciptaan lahir bersama jaminan rezeki agar kita tidak perlu terlalu bimbang soal rezeki. Dalam erti kata lain, konsep rezeki sangat luas. Rezeki adalah apa saja nikmat yang Allah berikan dan apa jua yang kita nikmati.

Sedekah mampu menjadikan kita manusia bersyukur.

Di saat kita dapat merasai sesuatu rezeki, masih ramai di luar sana yang tak berpeluang untuk rasa apa yang kita rasa selama mereka hidup di dunia. Paling penting, jangan pernah kita mengeluh dengan apa yang kita milki pada saat ini. Untuk mendapatkan rezeki yang halal dan baik, hendaklah kita berusaha dan bekerja dengan usaha kita seperti hadis: (Maksudnya): “Apakah pekerjaan yang paling baik? Jawab Baginda Rasulullah: “Amalan seorang lelaki dengan tangannya dan setiap jualan yang baik.” [HR Ahmad 17265]. Beruntung bagi mereka yang berusaha menjadikan rezeki yang diperoleh sebagai jalan membuat kebaikan seterusnya mendapat keredaan Allah SWT. Terdapat banyak jalan yang boleh dipilih bagi memastikan rezeki yang diperoleh dapat dikongsi bersama orang lain.

Berinfak harta ke jalan Allah

Maksud infak tersebut seperti infak pada pembangunan masjid atau surau. Selain itu, jika ada pusat pengajian yang perlukan dana, kita bantu dengan sebaiknya. Firman Allah: (Maksudnya): “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” [Surah al-Baqarah ayat 265]

Makanan dikongsi bersama

Dalam kesenangan dan kemewahan yang kita nikmati, masih ada lagi golongan yang memerlukan makanan dan keperluan harian untuk kehidupan. Selain itu, perkongsian makanan boleh dilakukan melalui makanan yang sengaja dibeli lebih untuk disedekahkan kepada sesiapa yang memerlukan. Nikmat yang cukup besar apabila ada mereka yang sudi berkongsi makanan dengan mereka walaupun hanya sebuku roti dan air mineral.

Membantu golongan yang tidak berkemampuan khususnya kaum kerabat yang terdekat

Sabda Rasulullah: (Maksudnya): “Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu”. [HR Bukhari 1426]. Kadang-kadang kita terlalu ingin membantu mereka yang jauh dari kita sedangkan masih ramai kaum kerabat, jiran tetangga yang menghadapi kesusahan dalam kehidupan mereka. Bantu mereka bukan dari segi kewangan sahaja, malah bantu mereka dari segi emosi dan sokongan terhadap apa yang mereka lakukan.

Oleh itu, tidaklah rugi dan tidak akan berkurang bagi sesiapa yang berkongsi rezeki yang dia miliki bersama manusia dan binatang. Bahkan, tidak miskin bagi sesiapa yang bersedekah kerana ganjaran pahala amat besar di sisi Allah jika amalan tersebut kita lakukan dengan ikhlas. Berdoalah kepada Allah agar kita dikurniakan rezeki yang halal lagi baik supaya rezeki kita diberkati dan dapat kita kongsikan rezeki itu bersama orang lain. Sabda Rasulullah: “Ya Allah ampunkanlah dosaku, lapangkanlah rumahku dan berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan.” [HR Tirmizi 3500]