BUDAYA negatif ‘cop parking’ nampaknya bagaikan tidak berkesudahan. Apabila ditegur, makin menjadi-jadi sekali gus menyerlahkan lagi sikap mereka yang mementingkan diri sendiri. Terbaharu, tular rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) mengenai seorang wanita yang sedikit berusia berdiri menunggu di petak parkir kosong di tepi jalan berhadapan sebuah kedai.
Insiden yang berlaku di Seremban, Negeri Sembilan yang dirakamkan pada Khamis itu menunjukkan wanita berkenaan berkeras menunggu tanpa memberi laluan kepada pemandu yang hendak meletakkan kenderaannya. “Makcik, ini bukan main cop-cop makcik,” kata pemandu lelaki itu. Wanita itu kemudian membalas bahawa dia sedang menunggu ketibaan kereta dinaikinya sedang membuat pusingan untuk meletakkan kenderaan di petak parkir tersebut.
“Dia dah datang sini, tapi kereta dia ada tak? Tak boleh macam tu makcik. Makcik mana boleh cop macam ni. Makcik kereta ke? Makcik bukan kereta kan? Siapa datang dulu,” balas pemandu berkenaan sambil memaklumkan dia juga membuat pusingan mencari petak parkir. Terus bertkm lidah, wanita berkenaan memberi alasan kononnya kereta yang dipercayai dipandu suaminya hampir tiba. “Tunggulah, pakcik kejap lagi datang,” ujar wanita itu.
Enggan terus menunggu, pemandu itu terus memasuki petak parkir apabila wanita berkenaan yang pada mulanya berdiri di tengah-tengah menghalang laluan mula beralih ke tepi kenderaan di sebelah. “Kau jawablah dengan dia (pakcik), saya berdiri tunggu sini lama… senang kau ye,” kata wanita berkenaan selepas tindakannya itu tidak dipedulikan pemandu lelaki itu. Menerusi ruangan komen di laman X, rata-rata warganet tetap tidak bersetuju dengan tindakan ‘cop parking’ meskipun ia dilakukan individu berusia yang perlu dihormati.
“Ada perkara kita kena hormat. Pemandu ni pun bukan cakap kasar atau kurang ajar dengan makcik ni. Makcik ni pun kena dijelaskan tentang parking tak boleh cop. Salah di sisi undang-undang. Biar dia tahu, beritahu kat pemandu kereta yang suruh dia cop parking tu. “Cara pemandu kereta ni berbalas dengan makcik ni kelakar. Hahaha… makcik kereta ke? “Aku rasa kelakar je lelaki tu. Baru betul ni buku bertemu ruas, tapi tak kurang ajar. Mendapatlah makcik, nak main cop cop pula,” komen warganet.
Sebagai peringatan, perbuatan ini adalah salah di sisi undang-undang dan semua pihak dilarang melakukannya. Untuk rekod, budaya ‘cop parking’ ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu.
Individu yang sengaja ‘cop parking’ ini boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan; dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya; seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.